GEORGE TOWN – Hari Sukan Negara (HSN) 2024 Peringkat Negeri Pulau Pinang pada 12 Oktober ini menyasarkan seramai 8,000 penyertaan daripada masyarakat pelbagai peringkat umur.
Tertemakan “Cergas Bersama”, acara tersebut bakal berlangsung dekat Padang Dato’ Haji Ahmad Badawi, Butterworth dari jam 6 pagi sehingga 12 tengah hari.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata pelbagai aktiviti menarik yang sesuai untuk semua peringkat umur akan diadakan sepanjang program berlangsung.
Beliau berkata, matlamat penganjuran acara tersebut adalah untuk memastikan setiap individu, tanpa mengira umur, latang belakang atau tahap kecergasan dapat mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti yang kita jalankan.
“Antara aktiviti yang akan diadakan termasuklah acara 10 kilometer (km) Kayuhan Madani, 10km Larian Untuk Negara dan 5km Berjalan Ria Madani yang terbuka kepada semua peringkat umur serta kebolehan masing-masing.
“Kita juga adakan Klinik Bola Sepak Bawah 12 Akademi Wira Muda, Aero Jamm, sukaneka KEMAS dan sukan rakyat seperti congkat, terompah gergasi, tarik upih, dam haji serta boling kelapa.
“Selain itu, pertandingan speak raga tuju, kabaddi, Himpunan Waja Diri, jualan barangan sukan dan jualan makanan turut akan diadakan.
“Para peserta juga berpeluang membawa pulang pelbagai hadiah cabutan bertuah yang menarik seperti motosikal elektrik, basikal gunung, barangan elektrik, barangan sukan dan hamper,” katanya katanya pada sidang media dekat Komtar di sini sebentar tadi.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang (JBSNPP), Mozakir Buyong Mokhtar serta wakil-wakil penaja.
Zi Sen yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang berkata, HSN bukan sahaja mampu mempromosikan gaya hidup sihat, malah dapat mengeratkan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
“Sukn merupakan platform terbaik untuk menyatukan semua lapisan masyarakat kerana ia melangkaui perbezaan kaum, agama dan budaya.
“Justeru, dengan penyertaan yang meluas, kita boleh membentuk sebuah komuniti yang lebih erat dan harmoni,” katanya.
Penganjuran HSN 2024 Peringkat Negeri Pulau Pinang mendapat tajaan RK Takasago Chain, Aeon Big, Decathlon, PACE dan Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd.
Dalam pada itu, Zi Sen memaklumkan bahawa bagi membudayakan sukan untuk semua golongan, Karnival Sukan OKU dan Karnival Sukan Warga Emas turut akan dianjurkan sempena HSN Negeri Pulau Pinang pada tahun ini.
“Katanya acara tersebut akan berlangsung pada 13 Oktober 2024 bertempat di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Bukit Mertajam dari jam 8 pagi sehingga 12 tengah hari.
“Antara pengisian aktiviti termasuklah aerobikton, karom, congkak dan boling tradisional bagi warga emas, manakala bagi warga OKU pula melibatkan acara bola tampar duduk, penalty shootout dan bola jaring shootout,” jelasnya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN