BAGAN DALAM – Kerajaan Negeri akan terus komited menyokong agenda pembangunan sukan negara demi mewujudkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen menyampaikan amanat itu semasa merasmikan Sambutan Hari Sukan Negara 2024 Peringkat Negeri Pulau Pinang di Padang Dato’ Haji Ahmad Badawi di sini pada 12 Oktober 2024.
“Hari Sukan Negara adalah satu manifestasi komitmen kerajaan untuk menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Acara tahunan ini bukan sekadar menyemarak semangat sukan, tetapi juga platform memupuk semangat perpaduan antara pelbagai lapisan masyarakat.
“Pulau Pinang, sebagai sebuah negeri yang berdaya maju dan progresif, sentiasa mendukung usaha-usaha yang dapat memajukan rakyat dari segi fizikal dan mental,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang.
ADUN Bagan Dalam, K. Kumaran; ADUN Sungai Puyu, Phee Syn Tze; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Mozakir Buyong dan Nor Amalia Mohamad Kassim mewakili Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Utara (SPU) turut sertai majlis tersebut.
Turut serta, tiga wakil penaja utama program iaitu Pengarah Urusan RK Choon South Asia, Datuk Lee Thian Chai; Pengurus Wilayah Utara Decathlon, Shaffa Mustafa; Pengurus Aeon Big Penang Perai, Siti Sarifah A’adnan dan Ketua Pegawai Operasi M Force Bike, Asri Ahmad.
Di samping itu, Zi Sen turut memuji Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang bersama-sama rakan penganjur lain kerana berjaya menganjurkan pelbagai acara berkaitan dengan konsep ‘Fit Malaysia’.
Seawal 6.30 pagi, telah berlangsung pelbagai acara antaranya kayuhan ria, larian ria, sukaneka, sukan tradisional, klinik bola sepak kanak-kanak, senam robik, tarian zumba, demonstrasi silat pelbagai perguruan, sesi cabutan bertuah serta pameran pelbagai jabatan kerajaan dan gerai komersial.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI