TENTERA Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan membuat pameran awam dua kapalnya di Swettenham Pier Cruise Terminal, Pulau Pinang sempena Hari Ulang Tahun Ke-89 pada 27 April 2023.
Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan dijadual hadir ke hari terbuka tersebut.
Pada petang ini (26 April 2023), wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB dan ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI (jurugambar) berpeluang menemu ramah Leftenan Komender Muhamad Fadhil Samsuddin, Pegawai Wakil Tentera Laut Pulau Pinang Ke-34 di pejabatnya dekat Jalan Tun Syed Sheh Barakbah, George Town.
“Program Hari Terbuka Kapal TLDM ini diadakan bersempena dengan Hari Ulang Tahun TLDM ke-89 yang disambut pada 27 April setiap tahun.
“Pada tahun ini, program Hari Terbuka Kapal diadakan serentak di seluruh pangkalan TLDM di Malaysia dan beberapa pelabuhan awam,” jelasnya sambil merakamkan penghargaan kepada delegasi Buletin Mutiara yang diketuai Pengarah Komunikasi Kerajaan Negeri, Yap Lee Ying kerana membuat promosi sempena penganjuran hari terbuka pada hari esok.
Selain pelabuhan awam Swettenham Pier Cruise Terminal di Pulau Pinang, Buletin Mutiara difahamkan, Hari Terbuka Kapal turut akan dianjurkan serentak antaranya di tambatan Pangkalan Lumut di Perak; Pangkalan Pulau Langkawi (Kedah); Pangkalan Pulau Indah (Selangor); Pangkalan Tanjung Pengelih (Johor) dan Pangkalan Kuantan (Pahang).
Bercerita lanjut, Muhamad Fadhil berkata tujuan utama penganjuran Hari Terbuka Kapal adalah untuk mempromosi perkhidmatan TLDM kepada seluruh rakyat Malaysia di negeri Pulau Pinang khususnya di samping mewujudkan daya tarikan kepada generasi muda untuk menyertai TLDM.
“Pada keesokan hari – selama sehari sahaja di negeri Pulau Pinang – ada pelbagai pameran yang menarik untuk orang awam di dalam dua buah kapal di sini (iaitu) KD Mahamiru iaitu kapal penyapu ranjau atau periuk api di lautan; dan 271 KD Gagah Samudera (kapal latihan).
“Selain ruangan navigasi, meriam dan beberapa kompatmen lain, kami juga menyediakan pameran kerjaya TLDM, pameran peralatan menyelam TLDM, persembahan ‘busking’ dan jualan ‘navy merchandise’,” katanya lagi sambil memberitahu bahawa Hari Terbuka Kapal adalah terbuka kepada semua peringkat umur dengan menyasarkan pengunjung dalam kelompok belia.
Menjawab soalan pemberita, beliau memberitahu bahawa mereka yang berminat menyertai Hari Terbuka Kapal boleh membuat pendaftaran secara dalam talian dengan imbas kod QR yang disediakan di Facebook Resident Naval Officer of Penang.
“Selain borang pendaftaran secara individu, borang pendaftaran berkumpulan dalam talian juga disediakan; pendaftaran boleh juga dibuat di kaunter masuk,” ujarnya.
Menurut Muhamad Fadhil, masa pameran esok adalah dari jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang.
Seusai sesi bicarawara di Pejabat Pegawai Wakil Tentera Laut Pulau Pinang, Muhamad Fadhil membawa delegasi Buletin Mutiara menaiki KD Gagah Samudera untuk melihat sendiri persiapan akhir sebelum temasya esok.
Pegawai Memerintah KD Gagah Samudera, Komander Ahmad Saiful Fadly Jaharuddin TLDM yang menyambut delegasi Buletin Mutiara dan diiring sama Pegawai Laksana KD Gagah Samudera, Leftenan Komander Aizad Ali; serta Pegawai Dalam Latihan, Leftenan Muda Amir Hakimi Mohd. Zahir.
Selaku Pegawai Memerintah KD Gagah Samudera, Ahmad Saiful memberitahu bahawa kapal latihan tersebut berlayar di bawah arahannya.
“Macam kapal latihan ini, kita (TLDM) ada dua buah iaitu KD Gagah Samudera dan (272) KD Teguh Samudera… kedua-dua kapal ini ‘kembar’, memang sama.
“Bagi saya, Hari Terbuka Kapal ini bukan sahaja akan mendedahkan aset TLDM kepada orang awam, malah boleh membantu orang awam mendapatkan gambaran yang sebenar perkhidmatan kita sebagai benteng pertahanan negara.
“Zaman sekarang, tanggapan boleh dicapai dari hujung jari, tetapi pengetahuan sebenar hanya boleh dicapai dan dirasai oleh orang awam apabila mereka ada peluang untuk merasai sebahagian kehidupan sebenar dalam sebuah kapal tentera apabila ada Hari Terbuka Kapal (TLDM) seumpama ini.
“Para pengunjung boleh tengok gambaran sebenar dapur tempat masak kami di atas kapal, tempat sebenar anak kapal tidur sebesar mana ruangnya, serta tugas-tugas sebenar mereka di pelbagai kompatmen di atas (271) KD Gagah Samudera.
“Seingat saya kali terakhir Hari Terbuka Kapal dianjurkan kepada orang awam adalah pada tahun 2003 di negeri Pulau Pinang, selepas kira-kira 20 tahun, dianjurkan pada hari esok (27 April 2023).
“Bagi saya, penganjuran (semula Hari Terbuka Kapal TLDM 2023) ini adalah suatu permulaan,” jelasnya sambil berharap pelbagai lagi acara seumpamanya boleh dianjurkan di negeri Pulau Pinang demi berkongsi mengenai gambaran sebenar perkhidmatan TLDM dengan orang awam terutama generasi muda-mudi.