Harimau Kumbang langkah kanan menang 3-1

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI


GEORGE TOWN – Sempena perlawanan pembukaan Liga Perdana Musim 2014, Ketua Meteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkenan melancarkan jersi baru pasukan bola sepak Pulau Pinang yang mendapat tajaan jenama barangan sukan terkemuka, Umbro di sini baru-baru ini.

Menerusi tajaan berkenaan, pasukan bola sepak negeri memperoleh tajaan dua jenis jersi iaitu warna biru bagi beraksi di gelanggang sendiri (Stadium Bandaraya) dan putih (stadium pasukan lawan).

Hadir sama pada majlis tersebut adalah Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd.

Rashid Hasnon; Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin; Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari; Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Datuk Nazir Ariff Munshir Ariff dan Timbalan Presiden FAP, Lawrence Loh.

Para peminat boleh mendapatkan jersi pasukan Pulau Pinang melalui wakil-wakil pengedar khas yang akan diumumkan pihak FAP dalam jangka masa terdekat.

Serentak dengan pelancaran jersi tersebut, skuad yang mendapat jolokan ‘Harimau Kumbang’ langkah kanan apabila berjaya membenam pasukan Sabah dengan jaringan 3-1.

Pulau Pinang dikejutkan dengan gol awal oleh penyerang muda kebangsaan, Mohd. Rozaimi Abdul Rahman pada minit ke-10, namun ternyata anak buah jurulatih, K. Devan tidak tersentak dan lantas mendapatkan jaringan penyamaan pada minit-minit akhir separuh masa pertama melalui sepakan percuma Zharif Hasna.

Bermula separuh masa kedua, ‘Harimau Kumbang’ kerap mengasak kubu lawan sehingga terhasilnya jaringan kedua melalui penyerang import, Hilton Moreira pada minit ke-61 hasil sepakan percuma Lee Gil Hoon yang gagal ditampan kemas penjaga gawang pasukan Sabah.

Zharif ternyata menjadi watak penting pada perlawanan terbabit apabila berjaya meledakkan gol ketiga pasukan tuan rumah pada minit ke-64 dan menceriakan 10,000 penyokong setia yang membanjiri Stadium Bandaraya di sini.

Bagi Devan, kejayaan menumpaskan Sabah adalah terlalu awal untuk mengukur sejauh mana kemampuan para pemain.

Bagaimanapun, sedikit sebanyak beliau berpuas hati dengan aksi kebangkitan yang dipamerkan Harimau Kumbang selepas ketinggalan satu gol.

“Saya berharap pemain dapat menumpukan sepenuhnya aksi menentang pasukan pilihan selepas ini iaitu pasukan PDRM di gelanggang lawan dan saya merasakan perlawanan malam ini menunjukkan respon positif untuk mengutip tiga mata penuh di gelanggang sendiri,” ujar beliau.