BUKIT TAMBUN – Harvey Norman, SportDirect.com, Project Rock dan Mollyfantasy antara jenama terkenal yang turut membuka lot komersial secara rasmi di gedung membeli-belah kelengkapan rumah IKEA Batu Kawan.
Ketika berucap, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa dengan pelaburan IKEA di samping projek-projek pembangunan bercampur yang dilakukan oleh Kumpulan Aspen, ia akan menggamit lebih ramai pengunjung terutama dari sekitar utara Semenanjung Malaysia ke bandar metropolitan Batu Kawan.
“Sejak (gedung IKEA Batu Kawan) dibuka pada pada bulan Mac (2019) lepas, saya sendiri telah melihat bagaimana IKEA telah mengubah dinamika di bandar metropolitan Batu Kawan.
“Terdapat ramai pelabur dan pelbagai pihak terlibat dalam kerja-kerja pembangunan sehingga komuniti di sini menjadikan bandar ini kian menarik, pintar, hijau dan mapan untuk rakyat bekerja serta menjalani kehidupan.
“Kita tidak boleh melihat perkembangan ekonomi yang dibawa kepada penduduk setempat melainkan dalam bentuk peluang pekerjaan…perkembangan ekonomi dijangka menjana ratusan peluang pekerjaan,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi dalam Acara Pembukaan Beberapa Pusat Membeli-Belah Terkenal Dunia di IKEA Batu Kawan dekat sini pada 12 Disember 2019.
Turut berucap, Pengarah Urusan IKEA Wilayah Asia Tenggara, Christian Roejkjaer.
Exco Belia & Sukan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, Soon Lip Chee; Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dr. Amar Pritpal Abdullah yang juga ADUN Sungai Bakap; ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik dan Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani turut sertai majlis perasmian pembukaan tersebut.
Hadir sama, Pengarah Pusat Membeli-Belah IKEA Wilayah Asia Tenggara, Christian Olofsson; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan bagi Kumpulan Aspen, Datuk M. Murly dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Aspen, Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff.
Selain IKEA, Kon Yeow memberitahu bahawa bandar metropolitan Batu Kawan turut berjaya menarik pelabur strategik lain, sehingga membawa dua universiti luar negara membuka kampus cawangan di sini, juga bertapakan syarikat-syarikat multinasional serta firma-firma perkhidmatan terkemuka.
“Kita, masa depan Pulau Pinang adalah tanah besar Seberang Perai, dan semestinya (bandar metropolitan) Batu Kawan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi serta pelaburan negeri secara keseluruhannya pada masa hadapan,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Tanjong merangkap ADUN Padang Kota.
Sebelum itu, Roejkjaer menyatakan bahawa tanpa kepercayaan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada hari ini, juga agensi Persekutuan seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), pengembangan pelaburan IKEA bermula dengan membuka gedung perdagangan di Lembah Klang, tidak mungkin dapat dibuka di utara Semenjung Malaysia kini.
“Terima kasih tidak terhingga untuk semua di Pulau Pinang, kerana merealisasikan pembukaan gedung membeli-belah kelengkapan rumah IKEA Batu Kawan yang merupakan pertama di utara (Semenjung Malaysia).
“Pengunjung di utara ini tidak perlu terbang lagi ke Lembah Klang untuk mendapatkan perkhidmatan kami yang berkualiti, memadai dengan datang ke (IKEA) Batu Kawan.
“Kami sangat percaya dengan potensi Pulau Pinang sebagai destinasi pelaburan, juga kuasa membeli penduduk di sini, untuk rancangan pengembangan pelaburan serta perkhidmatan perdagangan kami di sini,” ulas beliau.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD