Hasil kajian SEIA mampu bantu kerajaan rangka pakej bantuan kepada rakyat

Admin

GEORGE TOWN – Hasil daripada Kajian Impak Penilaian Sosioekonomi (SEIA) terhadap pendapatan dan pekerjaan bagi kumpulan isi rumah bersasar melibatkan negeri-negeri di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) boleh dijadikan sebagai panduan dalam merangka mekanisme tertumpu.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa melalui hasil kajian tersebut, ia dapat membantu sama ada Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Negeri dalam merangka pakej-pakej bantuan yang komprehensif agar dapat mencapai tujuan membantu golongan terkesan dek penularan COVID-19 di negara ini.

 

Menurut beliau, kajian menunjukkan bahawa implikasi terhadap kumpulan isi rumah bersasar mendapati bilangan keluarga daripada kumpulan isi rumah B40 bertambah daripada 7.8 peratus kepada 72.6 peratus.

 

“(Data ini) bermaksud kumpulan isi rumah yang memperoleh pendapatan kurang daripada RM1,000 meningkat dalam tempoh sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac 2020 lalu.

 

“(Dan) ini memberi indikasi kepada kita bahawa kumpulan isi rumah ini perlu diberikan perhatian dalam pakej-pakej bantuan yang dirancang,” ujarnya pada sesi bual bicara bersama-sama Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi strim langsung di Facebook dekat sini tadi.

 

Turut serta dalam sesi tersebut adalah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

 

Mengulas lanjut mengenai hasil kajian tersebut, Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Tanjong turut berkongsi data berhubung kadar pengangguran dalam kalangan wanita sepanjang pandemik.

 

“Terdapat peningkatan (kadar pengangguran) sebanyak 2.4 peratus dalam kalangan wanita yang bekerja dalam sektor informal, dan ini merupakan (indikasi) yang perlu diberi perhatian dalam penyaluran bantuan.

 

Begitu juga golongan belia dan bakal graduan yang turut menghadapi cabaran peluang pekerjaan, bagaimana (mekanisme) kita (sebagai kerajaan) dapat membantu golongan ini.

 

“Bukan itu sahaja, golongan orang asli; pekerja di sektor informal dan usahawan-usahawan daripada perusahaan kecil dan sederhana (SME) turut berdepan dengan kehilangan mata pencarian (yang mana) ada yang dihentikan kerja, waktu kerja dan upah dikurangkan oleh majikan dan sebagainya…memberi indikasi bahawa (kelompok ini) menerima kurang pendapatan.

 

“Selain itu, pekerja di sektor pelancongan yang paling terkesan akibat PKP dan di Pulau Pinang (melalui laporan berita) terdapat pihak pengurusan hotel yang turut mempromosikan makanan mereka sebagai usaha untuk terus ‘hidup’,” katanya yang turut berkongsi beberapa data daripada hasil kajian tersebut.

 

Menurut Kon Yeow, walaupun terdapat kekangan sumber pendapatan Kerajaan Negeri untuk membantu semua golongan terkesan, namun pentadbirannya tetap merangka strategi bagi membantu rakyat di negeri ini.

 

“Sememangnya, kita (Kerajaan Negeri) menghadapi banyak tuntutan dan keperluan dan dengan sumber (pendapatan) yang ada, kita akan merangka pakej-pakej bantuan untuk kumpulan sasar memerlukan.

 

“Di samping itu, kita (Kerajaan Negeri) juga mengelakkan pertindihan pemberian bantuan oleh Kerajaan Persekutuan dengan memberi tumpuan kepada kumpulan yang tercicir,” ulasnya yang turut berkongsi inisiatif Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 3.0.

 

Cadang Kaedah ‘Pool Testing

 

Dalam pada itu, Kon Yeow turut menyuarakan pandangan betapa pentingnya kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam usaha melandaikan keluk jangkitan kini.

 

“Di Pulau Pinang, di bawah program saringan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mendapati hanya 44 peratus sahaja pekerja berdaftar yang telah disaring dan ia merupakan sesuatu yang tidak memuaskan.

 

Oleh demikian, Kerajaan Negeri melihat kerjasama dengan pihak Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Cawangan Pulau Pinang bersama-sama Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dengan mencadangkan (kepada Kementerian Kesihatan Malaysia) ‘mass testing’ (saringan massa) menggunakan kaedah ‘pool testing’.

 

“(Kaedah ini) dapat menjimatkan perbelanjaan yang ditanggung oleh pekilang (majikan) dalam usaha membuat saringan terhadap pekerja-pekerja mereka malah ia (kaedah ini) juga telah diguna pakai oleh beberapa negara sebagai salah satu usaha meningkatkan jumlah saringan dalam kalangan penduduk,’’ jelasnya.

 

Kempen Komunikasi

 

Menyentuh mengenai kempen komunikasi yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang, Kon Yeow memaklumkan bahawa pentadbirannya mengambil pendekatan memperkenalkan inisiatif ‘Tiada Pergerakan, Tiada Jangkitan’ dan ‘Virus Di Depan Pintu Anda! Patuhi SOP’ dalam usaha memutuskan perebakan COVID-19 dalam kalangan komuniti.

 

“Kita (Kerajaan Negeri) mahu komuniti dan individu memainkan peranan masing-masing dalam membendung perebakan kerana inilah (inisiatif) ‘vaksin’ yang paling berkesan kini sementara menunggu vaksin yang sebenar.

 

Kita harap dapat menyemai kesedaran dalam setiap sanubari rakyat dan elakkan diri kita sebagai ‘host’ (perumah) virus ini.

 

“Banyak inisiatif kesihatan awam yang boleh diambil tanpa melibatkan perbelanjaan yang tinggi misalnya perubahan sikap…adakah kita akan memakai pelitup muka tambahan, atau tambahkan jarak fizikal daripada 1 meter kepada 1.5 atau 2 meter…itupun akan mengurangkan risiko jangkitan,” serunya.

 

Ordinan Darurat

 

Serentak itu, Kon Yeow turut mengulas mengenai Ordinan Darurat yang mana pada pandangan beliau, keberkesanan ordinan tersebut boleh diterjemahkan sama ada digunakan sebagai mekanisme memperkasakan sumber-sumber kesihatan awam atau atas kepentingan politik semata-mata.

 

“Sekiranya digunakan untuk memperkasakan kesihatan awam maka saya berpandangan semua pihak akan bersetuju, tetapi sehingga kini tidak ada apa-apa justifikasi atau alasan yang dapat meyakinkan rakyat (melalui pelaksanaan ordinan ini).

 

“Jangan sia-sia Ordinan Darurat yang dilaksanakan ini, masa yang amat penting ini sepatutnya membantu kita semua memerangi COVID-19 dan bukannya melibatkan kepentingan politik,” tegasnya.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN