Hasil kraf tangan suri rumah B40 bakal dipasarkan ke peringkat antarabangsa

GEORGE TOWN – Hasil kraf tangan suri rumah daripada kelompok B40 bakal dipromosikan dan dipasarkan dengan lebih meluas hingga ke peringkat antarabangsa pada masa hadapan.

Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng berkata, peluang tersebut bukan sahaja membolehkan golongan berkenaan menambah pendapatan tetapi juga menjadikan hasil kraf tangan mereka sebagai komoditi gaya hidup.

“Kerajaan Negeri bekerjasama dengan syarikat Aimpactz Social Enterprise melalui jenama Aisuka.Life bagi memberi ruang kepada suri rumah menjana pendapatan hasil kreativiti mereka.

“Kerjasama ini adalah sejajar dengan Visi Penang2030 yang memberi penekanan terhadap pembangunan keluarga dalam negeri yang hijau dan pintar.

“(Dan) salah satu agenda adalah meningkatkan pendapatan isi rumah apatah lagi produk hasil tangan seperti ini sememangnya ada harga tersendiri dan lebih disukai orang ramai,” ujar Chong Eng pada Majlis Pelancaran Aisuka.Life di Hin Bus Stop baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Ekskutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Ong Bee Leng dan pemilik syarikat Aimpactz Social Enterprise, Dr. Choong Jian Ming, yang bertindak sebagai medium dalam mengetengahkan produk tersebut melalui kelas yang diadakan dan promosi.

Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang itu berhasrat untuk melihat 40 peratus usahawan adalah wanita menjelang tahun 2030.

“Kini cuma 16 peratus wanita menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.

“Jadi apabila saya tahun mengenai Aisuka.Life ini, yang membawa jenama komuniti setempat dan didorong oleh kelestarian dan ekonomi pusingan, saya gembira untuk menyokong inisiatif ini,” kata Chong Eng.

Sementara itu, Jian Ming ketika ditemui memaklumkan bahawa pihaknya ketika ini mempunyai sembilan orang suri rumah yang aktif menghasilkan kraf tangan, di bawah inisiatif tersebut.

“Kami menyediakan kelas untuk mengajar mereka menghasilkan pelbagai jenis beg tangan yang mampu menarik minat pembeli.

“Kami akan mempromosikan barangan tersebut untuk dijual di pasaran tempatan dan menyasarkan ke peringkat antarabangsa pada masa depan.

“Setakat ini, beg-beg ini boleh diperoleh sebagai cenderamata di dua pusat pelancongan iaitu di ‘The Habitat’ di Bukit Bendera dan ‘Tropical Spice Garden’,” katanya yang mahu menjalinkan kerjasama dengan lebih banyak pihak pada masa hadapan.

 

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI