Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
PULAU TIKUS – Para peniaga di Pasar Pulau Tikus dan penduduk sekitar mampu menarik nafas lega apabila pasar berusia 27 tahun tersebut telah dinaiktaraf secara besar-besaran oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dengan kerjasama Kerajaan Negeri baru-baru ini.
Pasar Pulau Tikus merupakan pasar keempat yang telah siap dan selesai dinaiktaraf hasil lebihan bajet MPPP pada tahun lalu sebanyak RM61.23 juta. Antara pasar lain yang mendapat perhatian dan telah selesai dinaiktaraf ialah Pasar Air Itam, Pasar Lebuh Cecil dan Batu Maung.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika merasmikan pasar tersebut baru-baru ini berkata, sebanyak RM877,754 telah dibelanjakan untuk membaik pulih Pasar Pulau Tikus secara besar-besaran sejak ianya dibina pada tahun 1955.
“Rakyat mestilah berani membuat perubahan kepada yang lebih baik dan pentingnya untuk memilih dan memperoleh sebuah kerajaan yang berjiwa rakyat.
Tambahnya, melalui sebuah kerajaan yang bersih berasaskan sistem urus tadbir CAT (Cekap, Akauntabel, Telus), maka, lebihan bajet yang diperoleh dapat dimanfaatkan kepada rakyat semula dengan menaiktaraf empat buah pasar secara besar-besaran.
“Rakyat perlulah menyokong hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadikan Pulau Pinang Bersih dan Hijau, bertujuan untuk meningkatkan kualiti hidup. Marilah kita bekerjasama demi memastikan pasar-pasar yang telah dibaikpulih ini akan terus menjadi bersih, hijau dan selamat,” ujarnya.
Hadir sama, Yang Dipertua MPPP, Ar. Patahiyah Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yeow, Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Tikus, Koay Teng Hai dan pegawai-pegawai MPPP.