Hasil negeri bertambah sebab jual tanah fitnah BN

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, RM96 juta daripada RM206 juta tambahan pendapatan Kerajaan Negeri bagi tahun 2012 adalah hasil daripada lanjutan pajakan tanah pada 99 tahun.

Penjelasan itu sekaligus menjawab fitnah pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang baru-baru ini kononnya tambahan pendapatan Kerajaan Negeri bagi tahun lepas adalah hasil daripada penjualan tanah dengan mengguna pakai prosedur perakaunan untuk mencantikkan lembaran kewangan.

“Ini adalah satu fitnah jahat kerana Datuk Pegawai Kewangan Negeri dan Jabatan Kewangan Negeri (JKN) tidak pernah terlibat dalam perakaunan kreatif yang mencantikkan akaun.

“Malah, akaun diaudit dan disahkan oleh Ketua Audit Negara,” ujarnya pada sesi penggulungan perbahasan Bajet 2014 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Daripada tambahan RM206 juta itu, Guan Eng berkata, RM110 juta adalah hasil penjualan tanah Bayan Mutiara, sedangkan, baki RM96 juta adalah daripada lanjutan pajakan tanah pada 99 tahun.

“RM110 juta itu adalah 10 peratus daripada bayaran RM1.1 bilion untuk 105 ekar tanah di Bayan Mutiara yang dibayar sepenuhnya dalam masa lima tahun,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan & Warisan dan Hal Ehwal Agama Bukan Islam.

Sebelum itu, Guan Eng mendedahkan bukti berhubung Kerajaan Negeri era Barisan Nasional (BN) dahulu direkodkan menjual tanah 36 kali ganda, tetapi hasil jualan adalah sedikit berbanding yang dilakukan oleh pentadbirannya sejak tahun 2008.