Hasrat bina sistem lif bermotor ke puncak Kuil Sri Arulmigu Balathandayuthapani tingkatkan nilai inklusif – Ketua Menteri

e0d7853c c5d5 4374 9b0c 80271c247071

GEORGE TOWN – Hartasuma Sdn. Bhd. (Hartasuma) iaitu syarikat yang dilantik secara permohonan mengemukakan cadangan (RFP) bagi projek kereta kabel Bukit Bendera, menerusi satu surat bertarikh 5 Februari 2025 telah menyatakan hasrat untuk membangunkan sistem lif bermotor bagi pengunjung bertandang ke puncak Kuil Sri Arulmigu Balathandayuthapani, Jalan Kebun Bunga di sini.

bca4cf05 b244 4bf2 898b 4eb27055a72f
(Dari kiri) GOBIND Singh Deo, Ketua Menteri dan Steven Sim Chee Keong dalam sidang media berkaitan pada lewat petang tadi di sini.

Semasa mengumumkan perkara itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihak berkenaan akan meningkatkan lagi nilai inklusif buat para pengunjung ke kuil bersejarah tersebut.

“Terletak pada ketinggian lebih 100 meter, usaha ini sudah pastinya akan meningkatkan nilai inklusif pada aspek kebebasan serta keupayaan beribadah yang akan dapat memberi manfaat kepada pihak yang lebih memerlukan seperti warga emas, orang kurang upaya (OKU), wanita hamil dan sebagainya,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan semasa berucap dalam majlis berkaitan di perkarangan kuil tersebut sempena sambutan Thaipusam 2025.

Turut berucap, Menteri Digital, Gobind Singh Deo; Ahli Parlimen Jelutong merangkap Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang (PHEB), R.S.N. Rayer; Pengerusi Kuil Sri Arulmigu Balathandayuthapani, Dato’ Seri K. Kumarendran.

Mantan Ketua Menteri, Lim Guan Eng; Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong; Ahli Dewan Negara, R.A. Lingeshwaran; Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, YA Dato’ Anand Ponnudurai dan veteran politik, Tan Sri Lim Kit Siang antara pemimpin yang hadir pada majlis tersebut.

Dalam sidang media selepas itu, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menyatakan bahawa Hartasuma akan membiayai sepenuhnya kos pembinaan sistem lif bermotor termasuk kajian kebolehlaksanaan bagi projek tersebut.

“(Projek pembinaan sistem lif bermotor ke puncak Kuil Sri Arulmigu Balathandayuthapani) ini dianggarkan menelan kos RM4 juta hingga RM6 juta, bergantung pada hasil kajian kebolehlaksanaan serta jenis mod yang akan dibina nanti.

“Seeloknya ia (projek pembinaan sistem lif bermotor ke puncak Kuil Sri Arulmigu Balathandayuthapani) dapat disiapkan dalam tempoh dua tahun, serentak dengan projek kereta kabel (Bukit Bendera) yang juga mengambil masa dua tahun (tempoh pemajuan),” ujarnya lanjut.

Dalam perkembangan lain, Gobind memberitahu bahawa kementeriannya telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM50,000 untuk penganjuran perayaan Thaipusam di sini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Puchong, Selangor memberitahu pihaknya akan mengetengahkan hasrat PHEB dan pihak Kuil Sri Arulmigu Balathandayuthapani kepada pentadbiran Perdana Menteri, Y.A.B. Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim supaya Kerajaan Persekutuan mempertimbang syor menyalurkan peruntukan khusus untuk penganjuran perayaan Thaipusam pada masa hadapan di sini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR