Hasrat bina SMJKT pertama negara tak kesampaian – KM

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB & NORSHAHIDA YUSOFF

BUTTERWORTH – Hasrat Kerajaan Negeri untuk membina Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tamil (SMJKT) pertama di negara ini dekat Parlimen  Bagan di sini tidak kesampaian apabila ditolak Kerajaan Pusat.

Ini adalah berdasarkan surat berbalas bertarikh 8 Januari lalu daripada Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof yang menyatakan bahawa permohonan penubuhan SMJKT tidak diperuntukan oleh akta sedia ada.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng bagaimanapun berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masih boleh mempertimbang cadangan Kerajaan Negeri demi masa depan pelajar menengah aliran Tamil di negeri ini.

“Saya berasa kesal kerana cadangan Kerajaan Negeri untuk membina Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tamil telahpun ditolak oleh pihak Kementerian Pelajaran (Malaysia, KPM).

“Saya berharap Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) yang cuba menunjukkan bahawa beliau sangat prihatin dengan isu pendidikan bolehlah membuat arahan supaya cadangan ini diluluskan di Pulau Pinang,” ujarnya dalam nada kecewa di Dewan Datuk Haji Ahmad Badawi sini baru-baru ini.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata demikian pada satu sidang media, selepas di Majlis Penyampaian Bantuan Tunai RM100 Kepada Pelajar Kurang Mampu Parlimen Bagan kepada 550 pelajar terpilih daripada pelbagai bangsa, dari 17 sekolah di sini.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, Lim Hock Seng, Phee
Boon Poh (Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar merangkap ADUN Sungai Puyu) dan A. Thanasekharan (ADUN Bagan Dalam).

Dalam perkembangan sama, Guan Eng turut menyambut baik langkah Najib mengumumkan peruntukan terbaru RM100 juta setahun kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) melalui pihak pengurusan sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG).

“Sepatutnya telah lama Kerajaan Pusat menyalurkan peruntukan secara langsung, sebagaimana dilakukan Kerajaan Negeri sejak tahun 2008 lagi, (seperti) RM100 tiap-tiap tahun kepada warga emas, OKU (orang kurang upaya), ibu tunggal, pelajar emas dan sebagainya,” ujar beliau.

Terdahulu, Guan Eng dalam perbentangan Bajet Pulau Pinang 2014 lepas mengumumkan hasrat Kerajaan Negeri untuk menyumbang sebidang tanah berkeluasan tiga hingga lima ekar di Bagan secara percuma sekiranya Kerajaan Pusat bersetuju SMJKT pertama di kawasan Parlimen tersebut.

Surat pertama permohonan berkenaan dihantar kepada Menteri Pelajaran (kini Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi), Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah bertarikh 7 Januari 2013 disusuli kedua (20 Mac 2013), ketiga, (8 Oktober 2013).

Sebelum ini, Guan Eng yang juga ADUN Air Putih pada September 2012 menyerahkan sebidang tanah secara percuma sebagai tapak baru SJK(T) Subramaniya Barathee dekat Gelugor, sebagaimana dituntut Lembaga Pengurusan Sokolah berkenaan sejak 30 tahun lepas.