Hasrat Kerajaan pinda Akta Jalan, Parit dan Bangunan diharap dapat tangani isu pembangunan kawasan lereng bukit – Kon Yeow

Admin
https://www.facebook.com/buletinmutiara/videos/310412933111897/

Hasrat Kerajaan pinda Akta Jalan, Parit dan Bangunan diharap dapat tangani isu pembangunan kawasan lereng bukit – Kon Yeow

PULAU TIKUS – Kurangnya penguatkuasaan dan pelaksanaan pemantauan pembangunan di lereng bukit merupakan kelemahan yang harus ditangani segera bagi mengekang sebarang insiden tidak diingini berlaku.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, di Malaysia, terdapat banyak peraturan dan undang-undang yang membabitkan pembangunan di lereng bukit.

Malah menurut beliau, yang menjadi punca kelemahan utama adalah dari segi penguatkuasaan dan pelaksanaan pemantauan berterusan.

“Bukannya tiada peraturan atau undang-undang berkaitan, tetapi yang menjadi kelemahan adalah penguatkuasaan serta pelaksanaan pemantauan berterusan.

“(Dan) dalam kes ini (kejadian di Bukit Kukus), perhatian harus diberikan terhadap mitigasi (di kawasan kejadian),” ujarnya sebagai respons terhadap pertanyaan pihak media sejurus Upacara Pembukaan Pusat Khidmat Parlimen Bukit Bendera dekat sini lewat petang tadi.

Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Tanjong menyatakan bahawa pihak Kerajaan berhasrat untuk meminda Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Pindaan) 2018 (Akta 133) bagi memastikan pemohon pemajuan memasukkan dalam pelan perancangan pembangunan membabitkan kawasan lereng bukit.

“Perkara ini (pemindaan akta) berpatutan kerana bukan sahaja di Pulau Pinang, malah seluruh negara menghadapi masalah pembangunan di lereng bukit.

“(Diharap) dengan pemindaan ini, isu pembangunan di kawasan lereng bukit dapat ditangani,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail memaklumkan bahawa Kerajaan akan meminda Akta 133 dalam Sidang Dewan Rakyat akan datang bagi menguatkuasakan pembangunan di kawasan bercerun.

Berdasarkan laporan, setiap pembangunan di kawasan melibatkan kecerunan melebihi 25 darjah dan jumlah ketinggian menegak melebihi 10 meter diwajibkan untuk menyediakan laporan geoteknikal oleh pemeriksa bertauliah yang berdaftar dengan Lembaga Jurutera Malaysia.

Mana-mana pihak yang ingkar arahan tersebut tidak akan diberikan kebenaran untuk pembinaan dan pembangunan di kawasan cerun, sebagai dipetik.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Video : ALISSALA THIAN