Hasrat MBPP perbanyak taman kejiranan disambut baik

Admin
feature image taman areca

HASRAT Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk menyediakan lebih banyak taman kejiranan dan taman poket di pelbagai kawasan perumahan di negeri ini disambut baik oleh rata-rata responden yang ditemui.

Bagi MAZLIZA MUSTAFFA, 43, beliau berpendapat bahawa inisiatif tersebut mencerminkan komitmen pihak berkuasa tempatan berkenaan dalam perindahkan kawasan perumahan agar lebih kondusif dan hijau.

mazliza mustaffa
MAZLIZA Mustaffa.

“Saya rasa ia adalah satu inisiatif yang sangat baik kerana taman kejiranan boleh menjadi tempat yang sesuai untuk bersantai, beriadah serta berinteraksi dengan jiran-jiran.

“(Dan) dengan adanya lebih banyak taman kejiranan, saya percaya kualiti hidup penduduk akan meningkat kerana ruang hijau boleh mengurangkan tekanan dan memberi peluang untuk melakukan aktiviti fizikal.

“Saya harap taman-taman tersebut akan mempunyai laluan pejalan kaki, kawasan permainan kanak-kanak, tempat duduk, kawasan berlandskap dengan pokok-pokok dan bunga serta kemudahan asas seperti tandas dan tempat letak kereta,” kata Mazliza.

MUHAMMAD MUIZZUDDIN SYAHIRAN MOHD BASRI, 29, pula yakin bahawa penambahan taman kejiranan akan membantu dalam meningkatkan kesihatan fizikal dan mental penduduk.

“Taman kejiranan menawarkan peluang untuk aktiviti fizikal seperti berlari dan berbasikal, yang penting untuk kesihatan fizikal.

muhammad muizzuddin syahiran
MUHAMMAD Muizzuddin Syahiran.

“Pada masa yang sama, keindahan alam dan ruang yang ada boleh memberikan kesan positif terhadap kesihatan mental dan membantu mengurangkan tekanan.

“Terima kasih MBPP atas dedikasi dan komitmen dalam menjadikan Pulau Pinang tempat yang lebih hijau, sihat, dan mesra untuk semua,” ujarnya.

Begitu juga bagi SITI SARAH SUHARDI, 39, yang menyambut baik hasrat MBPP itu sambil menekankan kepentingan pembangunan terancang adalah perlu untuk menampung jumlah penduduk Malaysia yang semakin meningkat.

“Saya menyokong inisiatif MBPP untuk menyediakan lebih banyak taman kejiranan kerana hal ini membuatkan kawasan perumahan lebih hijau dan menjadi tempat para penduduk bersosial antara satu sama lain.

siti sarah suhardi
SITI Sarah Suhardi.

“Pada masa sama, ia juga dapat meningkatkan nilai masyarakat dan kestabilan ekonomi dengan menghimpunkan rakyat pelbagai latar belakang,” katanya.

NURUL SOFIA MOHD SUKRI, 23 menzahirkan kebimbangan mengenai keselamatan di sekitar kawasan taman kejiranan.

“Penting untuk memastikan taman-taman ini selamat untuk semua pengguna dengan adanya pencahayaan yang mencukupi dan pengawasan keselamatan.

“Selain itu, isu kebersihan dan penyelenggaraan yang berterusan juga perlu diberi perhatian agar taman-taman tersebut kekal dalam keadaan baik.

“Inisiatif ini juga menunjukkan keprihatinan MBPP terhadap kesejahteraan komuniti serta alam sekitar,” ujar Nurul Sofia yang sempat merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak MBPP.

nurul sofia
NURUL Sofia Mohd Sukri.

ASIAH K, 30, seorang penduduk dari Jelutong menekankan kekurangan kemudahan dan taman rekreasi di kawasan kejiranannya.

“Bagi saya, adalah idea yang baik MBPP mahu membangunkan lebih banyak taman kejiranan kerana di kawasan saya hanya terdapat Bukit Dumbar dan Taman Areca.

“Ini sangat penting kerana ia meningkatkan kesejahteraan badan dan emosi kita. Komuniti saya penuh dengan pekerja yang memerlukan tempat untuk berehat, oleh itu saya cadangkan menambah lebih banyak taman yang menawarkan tempat penting untuk bersenam,” ulasnya.

Sebelum ini, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran berkata bahawa inisiatif tersebut adalah selaras dengan Visi Penang2030. Sebanyak RM5.2 juta diperuntukkan bagi tujuan penyediaan dan menaik taraf taman kejiranan bagi tahun ini.

Teks & Gambar : NUR SYAKIRAH MOHD. BASRI