DATUK Seri Hassan Ahmad diumum sebagai Tokoh Maal Hihrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/2024M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 7 Julai 2024.
Nama bekas Mufti Pulau Pinang itu diumum bersama-sama Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa iaitu Prof. Dr. Ali Muhyiddin Ali Al-Qaradaghi iaitu Presiden Kesatuan Ulamak Sedunia.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd. Yusoff yang mengumumkan nama kedua-dua tokoh tersebut.
Sementara, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sendiri memperkenan untuk mengurniakan anugerah berserta wang tunai, trofi dan sijil penghargaan kepada kedua-dua tokoh berkenaan.
Baru-baru ini wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB dan jurugambar, ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI berpeluang menemu ramah Hassan yang mesra dipanggil ‘Ustaz Hassan’.
Sesi bicarawara Ustaz Hassan, 82, yang ditemani isteri, Datin Seri Pauziah Mohd. Noor, 60-an berlangsung di kediaman mereka dekat Jalan Pongsu Seribu, Pokok Sena, Kepala Batas, Daerah Seberang Perai Utara (SPU).
“Pertama, syukur kepada Allah yang telah memberikan taufik dan hidayah kepada pihak berkuasa kerana memberikan anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan baru-baru ini.
“Kedua, terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan Malaysia, Perdana Menteri Dato’Seri (Utama) Anwar Ibrahim dan ucapan menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang berkenaan menyampaikan anugerah baru-baru ini,” jelasnya dalam nada sederhana.
Ustaz Hassan mempunyai sembilan cahayamata (empat lelaki dan lima perempuan) yang mana semuanya berjaya dalam pelbagai bidang professional, serta 16 cucu.
Dunia Akademik
Beliau mendapat Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang pada tahun 1973, selepas melanjutkan pengajian di Fakulti Syariah dan Undang-Undang dekat Yayasan PengajianTinggi Islam Kelantan (YPTIK), Nilam Puri, Kelantan Darul Naim.
Selepas itu, beliau melanjutkan pengajian di Fakulti Syariah, Universiti Al-Azhar, Mesir dan mendapat Ijazah Sarjana dalam bidang Usul Al-Fiqh.
“Kira-kira 20 tahun juga saya menjadi pensyarah; tiga tahun di (YPTIK) Nilam Puri; dan baki 17 tahun lagi (bermula pada 1 April 1981 hingga 31 Ogos 1997) sebagai pensyarah Fakulti Syariah, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM).
“Datuk Hakimah Mohd. Yusoff (KetuaPengarah JAKIM); Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sahibus Samahah Datuk Dr. Luqman Abdullah; dan Ketua Pengarah IKIM (Institut Kefahaman Islam Malaysia, Profesor Madya Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil) merupakan antara tokoh yang merupakan bekas pelajar dahulu.
“Selepas pencen di Universiti Malaya, barulah ditaklifkan sebagai Mufti Pulau Pinang, perjawatan kontrak selama kira-kira 17 tahun (bermula pada 2 September 1997 hingga 6 Jun 2014),” jelasnya.
Bercerita lanjut, beliau berkata dunia akademik sebenarnya mempunyai cabaran tersendiri.
Antaranya, menurut Ustaz Hassan, adalah semasa proses rundingan untuk meletakkan YPTIK Nilam Puri di bawah salah satu dari dua Universiti Awam; sama ada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) atau Universiti Malaya (UM).
“Pada peringkat awalnya, UKM yang berminat untuk mengambil alih YPTIK dengan syarat mengekalkan proses pengajaran dan pendidikan Islam peringkat tinggi dalam bahasa Arab seperti sedia ada.
“Syarat yang diberikan itu menghalang UKM kerana proses pengajian di Universiti (Awam) tersebut mesti dalam bahasa kebangsaan atau bahasa Melayu.
“Selepas itu, proses rundingan diteruskan dengan melibatkan Y.M. Profesor Diraja Dr.Ungku Abdul Aziz sebagai Canselor Ke-3 Universiti Malaya (1968–1988).
“Beliau (Ungku Abdul Aziz) bersetuju dengan syarat mengekalkan pengajian Islam dalam bahasa Arab dan berani mempersembah cadangan ke peringkat atasan supaya YPTIK diletakkan di bawah Universiti Malaya,” jelasnya lagi.
Pada tahun 1981, menyorot sejarah, Akademi Islam ditubuhkan di Universiti Malaya dengan dua fakulti, iaitu Fakulti Syariah dan Fakulti Usuluddin.
Pada tahun 1996 pula, Akademi Islam bergabung dengan Jabatan Pengajian Islam – yang telah wujud di bawah Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FSSS) dan dikenali sebagai Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM).
“Paling mencabar adalah proses perundingan untuk meletakkan YPTIK di bawah Universiti Malaya, dan Y.M. Ungku Abdul Aziz berani membuat keputusan sampai tertubuhnya Akademi Islam,” katanya lagi.
Cabaran Sebagai Mufti
Seperti dunia akademik, Ustaz Hassan memberitahu bahawa menjadi Mufti Pulau Pinang juga ada cabaran tersendiri.
Paling mencabar, menurutnya, proses perundangan dengan Pihak Berkuasa Negeri sehingga Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004.
Berdasarkan subseksyen 48(3) dan (4) enakmen tersebut, beliau memberitahu bahawa Mufti Negeri Pulau Pinang atas perkenan Yang di-Pertuan Agong berhubung fatwa ‘kalimah-kalimah suci yang khusus bagi agama Islam dan tidak boleh digunakan agama-agama bukan Islam’.
Berdasarkan enakmen yang diwartakan, terdapat 40 kalimah antaranya Allah, Firman Allah, Ulama’ dan Haji.
Berdasarkan sekyen 45 enakmen sama menyebut bahawa, “Mufti hendaklah membantu dan menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan dengan semua perkara hukum syarak, dan dalam semua perkara sedemikian hendaklah menjadi pihak berkuasa utama di Negeri Pulau Pinang selepas Yang di-Pertuan Agong, kecuali jika diperuntukkan selainnya dalam Enakmen ini.”
Mengulas lanjut, Ustaz Hassan berkata pihaknya berusaha meminda enakmen berkaitan supaya fungsi serta bidang kuasaseorang Mufti Pulau Pinang mempunyai kedudukan tersendiri dan berurusan langsung di bawah Yang di-Pertuan Agong.
“(Berdasarkan enakmen) terdahulu – sebelum tahun 2005 – selepas mesyuarat Jawatankuasa Fatwa, kalau nak warta (satu-satu perkara) perlu mendapatkan kelulusan Mesyuarat Exco terlebih dahulu.
“Semasa itu, saya minta (pindaan enakmen) supaya membolehkan Mufti Pulau Pinang sahaja yang mempunyai kuasa penuh untuk membawa keputusan (mesyuarat Jawatankuasa Fatwa) ini kepada Agong… Exco (Hal Ehwal Agama Islam) hanya akan dimaklumkan (mengenai keputusan mesyuarat Jawatankuasa Fatwa tersebut).
“Selepas Kerajaan Negeri berpindah tangan pada Mac 2008, saya menggunakan enakmenini untuk menghalang agama-agama bukan Islam menggunakan perkataan tertentu yang khusus bagi orang Islam.
“Antaranya, perkataan haji…saya menggunakan enakmen ini untuk menghalang penggunaan perkataan haji atau lebai pada berhala tertentu di Pulau Pinang, walaupun ada pemimpin tententu tidak bersetuju dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa yang saya persembahkan terus kepada Agong semasa itu.
“Semasa itu, saya mempersembahkan (keputusan mesyuarat) Jawatankuasa Fatwa untuk melarang penggunaan 40 perkataan tersebut untuk digunakan oleh agama-agamna selain Islam, dan Agong perkenan menandatangani (warta tersebut).
“Saya diminta tarik balik (fatwa) yang Agong dah setuju, tetapi saya minta Exco berkenaan merujuk kembali pada fungsi serta peranan seorang Mufti Pulau Pinang mengikut enakmen tersebut,” jelasnya lagi sambil menganggap pengalaman itu adalah mencabar bagi mencegah anasir salah faham terhadapagama Islam yang sebenar.
Ketokohan
Selain bidang akademik dan peranannya sebagai mufti, Buletin Mutiara difahamkan, Ustaz Hassan turut memainkan peranan penting sebagai penasihat dalam beberapa institusi, antaranya;-
* Ahli Majlis Penasihat Syariah Sistem Perbankan Islam Maybank (1993-2004)
* Ahli Majlis bagi Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) (1997-2014)
* Ahli Majlis Pengawasan Syariah Bank Kerjasama Rakyat (1998-2004)
* Ahli Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti (1998-2010)
* Ahli Majlis Penasihat Syariah KFC Holdings (1999)
* Ahli Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia (2001-2016)
* Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Ibadah Haji, Lembaga Tabung Haji Malaysia (2005-2017)
* Pengerusi Lembaga Pengarah Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) Pulau Pinang (2005-2014)
Di samping itu, sehingga kini Ustaz Hassan juga sempat menghasilkan beberapa karya penulisan dalam bahasa Melayu dan Arab; antaranya, Riwayat Hidup Imam Nawawi, Usul Al-Fiqh dan ‘Al-Mafthum Wa Mauqif Al-Usuliyina Min Hujjiyatih‘.
Harapan
Hampir 45 minit juga bicarawara, Ustaz Hassan berkata dengan berbekalkan kudratserta sedikit ilmu agama yang dipinjamkanoleh Allah S.W.T., beliau berharap dapat terusmemenuhi jemputan mengajar dalam majlis-majlis ilmu yang dianjurkan di masjid, surau serta madrasah tertentu terutama di negeri ini.
“Semasa saya menjadi Mufti Pulau Pinang, saya sebagai pengerusi bersama ahli lembaga pengarah sempat tubuh KITAB Pulau Pinang pada tahun 2005, sampai saya berhenti pada tahun 2014.
“Selepas itu, saya tubuh Yayasan Darul Hadith (yang mana) saya dilantik sebagai penasihat kehormat sampai sekarang dan Ustaz Rosli Othman juga kini adalah penasihat kehormat juga; sementara Ustaz Hanif Haron sebagai ‘Guru Besar’ di institusi pendidikan di situ.
“Sampai sekarang, niat saya adalah untuk mengembangkan kefahaman Islam menerusi jalan akademik dan pendidikan macam di Yayasan Darul Hadith serta masjid dan surau.
“Macam tema Maal Hijrah tahun ini iaitu Al-Falah Pemacu Malaysia MADANI, saya berharap kerja-kerja mengembangkan kefahaman Islam secara menyeluruh mestidisuburkan lagi, tidak boleh secara selektif ikut kepentingan pihak tertentu, mesti melibatkan semua kelompok dalam kalangan umat Islam serta mesti berdasarkan perlembagaan negara dan kalau di negeri inimesti mengikut Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004,” jelasnya lagi mengakhiri bicarawara berkaitan.