GEORGE TOWN – Kempen hari kelapan Pakatan Harapan (PH) bersama-sama Barisan Nasional (BN) di bawah panji Kerajaan Perpaduan diharap mampu membuka lembaran baharu dalam senario politik Malaysia khususnya Pulau Pinang.
Ketua Menteri ‘Caretaker’, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa kerjasama yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) itu belum pernah terjadi dalam sejarah.
“Dalam menterjemahkannya di peringkat akar umbi, beberapa bulan sebelum ini (kempen bersama) belum berlaku, tetapi dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), maka kerjasama peringkat akar umbi di bawah payung Perpaduan antara PH dan BN sudah kita nampak.
“(Dan) pada hari ini, kita berada di Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis kawasan bagi sempadan DUN Komtar dan DUN Padang Kota untuk berkempen bersama-sama pasukan UMNO BN,” ujarnya ketika menjalankan kempen di Flat PPR Taman Manggis bersama-sama UMNO Bahagian Tanjung di sini sebentar tadi.
Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan itu dalam pada itu turut berharap kerjasama Perpaduan tersebut dapat dihayati oleh pengundi masing-masing.
“Jadi, saya berharap menerusi gabungan yang dijalankan ini, kita dapat memujuk keahlian kita baik daripada BN mahupun PH untuk sama-sama menghayati model kerjasama Perpaduan dengan mengundi sesiapa yang mewakili Perpaduan,” ulasnya lanjut.
Kon Yeow yang juga Pengerusi PH Pulau Pinang berharap Saluran 6 (undi termuda) bagi Taman Manggis dapat dimenangi semula selepas saluran tersebut tewas pada PRU15 lalu.
Di PPR Taman Manggis, Kon Yeow bersama-sama jentera PH – BN membuat edaran bunga mawar dari rumah ke rumah sambil mengingatkan penduduk setempat untuk keluar mengundi pada 12 Ogos nanti.