HCF ‘Share The Love’ rai 30 OKU, bukan Islam dan mualaf

GEORGE TOWN – Bersesuaian dengan akhlak junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang penuh kasih sayang, organisasi dakwah dan sokongan mualaf, Hidayah Centre Foundation (HCF) Cawangan Utara hari ini meraikan 30 individu terpilih.

Pengurus Hidayah Centre Cawangan Utara, Mohd. Yusni Ghazali berkata, atas sifat kasih sayang Rasulullah, seramai lima orang kurang upaya (OKU), 15 bukan Islam dan mualaf (10) diraikan bersempena sambutan Maulidur Rasul tahun ini.


“Sumbangan berbentuk kewangan yang diberikan adalah berteraskan konsep berkongsi kasih sayang iaitu ajaran Nabi Muhammad SAW kepada kita umatnya.

“Selaras dengan bulan kelahiran Baginda, kita telah menganjurkan pelbagai program kenali Muhammad sejak 15 Oktober lalu.

“Pada hujung minggu ini pula kita merancang untuk ziarah beberapa keluarga asnaf di Seberang Perai bersertakan program ceramah, program memanah dan lain-lain lagi,” ujar beliau kepada Buletin Mutiara pada Majlis Sumbangan Share The Love di Auditorium A Komtar pagi tadi.

Hadir menyempurnakan majlis, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail.

Turut hadir, Pengurus Besar Wakaf Pulau Pinang, Rosidi Hussain; Pengerusi Persatuan Muslim Tanjong Pulau Pinang, Mohamed Nasir Mohideen dan wakil-wakil badan bukan kerajaan (NGO) terlibat menjayakan program tersebut.

Dana pada program tersebut disumbangkan oleh Etiqa Takaful melalui Wakaf Pulau Pinang.

Dalam menyantuni pelbagai golongan masyarakat, HCF turut merancang pelbagai aktiviti riadah termasuk plogging bersama-sama NGO bukan Islam namun tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD