GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan memperluas sesi libat urus dengan sekalian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen serta para pemegang taruh berwajib demi memastikan pelan gangguan bekalan air berjadual (SWSI) selama 2.5 hari bermula pada 10 malam 25 April nanti berjalan lancar.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Ir. K. Pathmanathan berkata bahawa hebahan akan dibuat ke semua pelosok desa setiap daerah bagi memastikan proses persiapan rakyat di peringkat akar umbi dapat dibuat secukupnya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan taklimat ringkas berkaitan pelaksanaan SWSI di sini pada 8 April 2025.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi; mantan Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Lim Guan Eng; Exco-Exco Kerajaan Negeri dan barisan wakil rakyat Pulau Pinang turut menyertai majlis taklimat tertutup tersebut.

Menurut Pathmanathan, PBAPP akan melaksanakan kerja-kerja akhir bagi 23 projek penaiktarafan infrastruktur berkaitan secara serentak 25 April ini bermula pada 10 malam dan dijangka pulih sepenuhnya pada 28 April 2025 (10 pagi).
Tambah beliau, PBAPP terpaksa mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan SWSI tersebut demi meningkatkan daya tahan Pulau Pinang menghadapi risiko krisis air, di samping menyokong teras ekonomi negeri serta pertumbuhan penduduk pada masa hadapan.
“Daripada 23 projek yang akan dilaksanakan secara serentak, paling lama masa yang akan diambil adalah 12 jam iaitu merujuk pada kerja-kerja penyambungan akhir paip yang merentasi di atas Sungai Perai,”ujarnya sambil menjelaskan bahawa jumlah pelaburan bagi pelaksanaan SWSI kali ini adalah kira-kira RM25 juta.
Difahamkan, syarikat operator air negeri tersebut akan menggerakkan aset sokongan iaitu 80 unit lori tangki air, tangki statik (111) serta tangki boleh bergerak (71) ke lokaliti terjejas dek SWSI nanti khususnya sekitar kawasan hujung paip agihan (EoL).
Terdahulu, PBAPP pada awal bulan Januari 2024 mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan pelan SWSI bagi menyempurna kerja-kerja akhir penggantian injap pertama bersaiz 1,200 milimeter (mm) di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua serta beberapa projek lain.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : ALISSALA THIAN