GEORGE TOWN – Para pelajar terutamanya generasi muda diseru agar menjadi perintis kepada usaha membendung dan menghentikan pemanasan global.
Seruan tersebut dilaungkan Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP). Dato’ Ar. Yew Tung Seang ketika menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Anugerah Sekolah Hijau 2018 Peringkat Pulau, Pulau Pinang semalam.
Katanya, bumi kini semakin tenat dan mengalami peningkatan suhu dari 1 hingga 2 darjah celsius yang menjadi punca kepada pemanasan global.
“Hari ini populasi dunia berjumlah tujuh bilion penduduk, apa yang menarik perhatian adalah kita perlu menjaga bumi ini dengan menghentikan perubahan iklim yang sedang melanda terutamanya isu pemanasan global.
“Kutub utara yang menerima kesan serta tempias ini menjadikan ais semakin cair hingga mengancam beberapa spesies utama di dunia yang semakin pupus apabila peningkatan suhu ini berlaku.
“Manusia cuma tiga peratus dari keluasan bumi.. namun kesan kerosakan yang kita bawa amatlah besar,” tegas beliau.
Justeru, jika keadaan tersebut berterusan, Tung Seang berkata, peningkatan suhu akan terus meningkat sebanyak 3 darjah celcius dan ini akan mendorong kepada ancaman terhadap sumber makanan di bumi.
“Tuntas, pelajar-pelajar perlulah menjadi perintis dalam melawan fenomena pemanasan global kini demi masa depan yang lestari,” serunya.
Hadir sama, Setiausaha bagi MBPP, Ir. Addnan Razali, Ahli-ahli Majlis bagi MBPP dan Eksekutif Program dan Projek Penang Green Council (PGC), R.Renuka dan wakil-wakil penaja.
Serentak itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Pulau Tikus dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Eng Chuan diumumkan sebagai johan Anugerah Sekolah Hijau 2018 Peringkat Pulau bagi kategori sekolah menengah dan rendah.
Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM2,200, piala, sijil serta wang tunai RM300 sumbangan dari PGC.
Dua kategori lain yang turut dipertandingkan ialah Anugerah Khas dan Persembahan Terbaik.
Dalam pada itu, Pengetua bagi SMK Convent Pulau Tikus, Khaw Juan Woon ketika ditemui menyatakan bahawa, kejayaan merangkul Anugerah Sekolah Hijau mesti bermula dari kepimpinan atasan sekolah agar ia menjadi contoh kepada murid-murid.
“Mula-mula, saya sendiri yang buat projek-projek kehijauan di sekolah, lepas itu cikgu-cikgu dan seterusnya murid-murid juga ikut sama.
“Pimpinan atasan sekolah kena mula dahulu dan duit untuk pertandingan yang lepas-lepas kami gunakan sebagai sumber seperti beli tanah selain dari duit jualan kitar semula.
“Selain itu kami juga adakan pertandingan kitar semula dan beri hadiah kepada murid, jadi dari situ juga SMK Convent Pulau Tikus dapat memupuk semangat pelajar untuk melibatkan diri dalam Anugerah Sekolah Hijau ini,” ujar beliau kepada Buletin Mutiara.
Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar: DARWINA MOHD. DAUD