Hepatitis, jalani pemeriksaan vaksin jika perlu

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Program kesedaran awam mengenai penyakit radang hati atau hepatitis viral perlu dilaksanakan secara berterusan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, signifikan program kesedaran awam bukan sahaja berupaya memupuk kesedaran mendalam terhadap kepentingan penjagaan kesihatan, malah juga memberi maklumat jelas kepada umum berhubung kaedah pencegahan awal penyakit berkaitan serta perawatan perlu.

“Objektifnya jelas, iaitu memberi kesedaran bukan sahaja kepada golongan sasaran, tetapi kepada umum dari segi pengetahuan dan amalan yang harus dilakukan.

“Sejajar itu, program-program kesedaran awam perlu memberi fokus terhadap diagnosis awal, pencegahan dan rawatan penyakit hepatitis,” ucapnya pada sambutan Hari Hepatitis Pulau Pinang 2016 di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi Pengelola yang juga Naib Presiden Yayasan Hepar Malaysia (MLF), Datuk Dr. Robert Ding Pooi Huat dan Dr. Nor Azleen Zainol Abidin mewakili Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang.

Guan Eng dalam pada itu memaklumkan bahawa di Pulau Pinang, 22 kes baru Hepatitis C dilaporkan pada tahun 2015.

Manakala, jelas beliau, kadar jangkitan berjaya dikurangkan sebanyak 0.3 peratus sejak program vaksin Hepatitis B diperkenalkan di negara ini.

“Tidak kiralah sama ada Hepatitis A, B, C, D atau E, semuanya merupakan penyakit amat berbahaya dan telah meragut banyak nyawa berbanding malaria, denggi dan HIV sejak sedekad lalu.

“Perkara ini harus diberikan perhatian serius, bukan sahaja Jabatan Kesihatan Negeri mahupun MLF, tetapi semua pihak,” gesanya supaya orang ramai menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala dan jika perlu, divaksinkan.

Hepatitis lazimnya berpunca daripada jangkitan kuman. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan 360 juta orang seluruh dunia menghidap Hepatitis B dan Hepatitis C (kira-kira 150 juta), mengakibatkan hampir 1 juta orang meninggal dunia akibat kedua-dua hepatitis ini.

Secara umum, gejala biasa bagi penyakit hepatitis adalah penyakit kuning, hilang selera makan, mudah letih dan sakit otot.