GEORGE TOWN – Keberanian dan tindakan pantas seorang polis bantuan yang sanggup menggadaikan nyawa terjun daripada Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (atau lebih dikenali sebagai Jambatan Kedua Pulau Pinang, JK2PP) setinggi 20 meter, menerima penghargaan daripada Ketua Menteri ‘sementara’, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.
Zaidi Salleh, 52, terjun dari JK2PP demi menyelamatkan seorang wanita yang dipercayai hampir lemas pada 18 April lalu.
Beliau yang kini berkhidmat sebagai polis bantuan di bawah pihak konsesi Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB) menerima wang tunai RM500 berserta sijil penghargaan yang disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus pada sidang media di sini 20 April lalu.
Terdahulu, Guan Eng menzahirkan penghargaan dan berharap tindakan ‘Hero Zaidi’ menjadi contoh kepada generasi akan datang.
“Saya juga berharap akan lebih ramai lagi rakyat yang prihatin serta sanggup menggadaikan nyawa demi menyelamatkan mangsa.
“Hal ini menunjukkan bahawa orang di Pulau Pinang bukan sahaja cun, malah berani juga,” ujarnya yang turut memuji kepantasan ‘Hero Zaidi’.
Dalam pada itu, Pengurus Besar Kanan JKSB, Suhaimi Mohd. Jusoh turut berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Ketua Menteri kerana menghargai pengorbanan yang ditonjolkan.
“Sebagai petugas (di JK2PP) pastinya kami ingin memberi perkhidmatan yang terbaik dan cemerlang,” katanya.