GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini menerima kunjungan hormat rombongan daripada Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) di pejabatnya di Komtar.
Rombongan diketuai Presiden PEMENANG, Tan Sri Datuk Seri Dr. Mohd. Yussof Latiff itu mengadakan pertemuan selama 30 minit dengan membincangkan isu-isu berkaitan hala tuju dan peranan PEMENANG selaku badan bukan kerajaan berteraskan kemasyarakatan.
Malah, Mohd. Yussof turut menzahirkan penghargaan dan ucapan tahniah atas pelantikan Kon Yeow sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang yang kelima.
Selain itu, ahli-ahli rombongan yang terdiri daripada jawatankuasa tertinggi PEMENANG turut mencadangkan untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dan agensi berwajib dalam menghidupkan semula kawasan warisan Melayu di bandar raya George Town.
Malah, pihak berkaitan juga mencadangkan agar konservasi bangunan warisan digiatkan bagi tujuan pelancongan termasuk menawarkan diri untuk turut serta dalam penganjuran festival berkaitan warisan serta kebudayaan Melayu di negeri ini.
Ditubuhkan pada 27 Mac 1927, tahun ini, PEMENANG bakal meraikan ulang tahun yang ke-91 dalam suatu majlis khas nanti.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI