SEBALIK pandemik COVID-19 yang memberi kesan teruk kepada ekonomi, siapa sangka sebenarnya ia membuka peluang ekonomi pula kepada adik beradik Alzari Mahshar (Joey) dan Alnazree Mahshar (Mamu G) mengusahakan nasi kandar dalam talian.
Mereka nekad mengusahakan nasikandaronline.com yang menyediakan perkhidmatan penghantaran makanan Pulau Pinang ke Lembah Klang dua hingga tiga kali seminggu.
Menurut Mamu G, penghantaran pertama dibuat pada 25 Julai lalu bagi menjana pendapatan asal yang berasaskan pelancongan sebelum ini.
“Sekali dengar memang macam ‘kerja gila’ bawa makanan dari Penang terus ke Kuala Lumpur, tetapi memang ‘gila’ pun, majoriti yang buat pesanan memang nasi kandar dan orang Penang yang kerja di sana.
“Pada mulanya kami hanya buat group WhatsApp untuk saudara-mara dan kawan-kawan dahulu sebelum ia tersebar meluas apabila mereka kongsi kepada orang lain.
“Daripada situ, kami wujudkan laman web untuk memudahkan pesanan dibuat, dalam laman web juga kami akan beritahu bila kami akan ke Penang untuk buat pesanan dan penghantaran kepada pelanggan,” ujar anak jati Sungai Gelugor yang membesar di Shah Alam itu.
Demi memastikan perniagaan tersebut lebih memndapat sambutan nasikandaronline.com turut menyediakan menu-menu lain popular di Pulau Pinang disifatkan ‘kena’ dengan selera penduduk Lembah Klang.
“Dalam pada itu kami juga terima pesanan seperti mi goreng sotong, pasembur, serabai, nasi lemak, mi udang dan pelbagai lagi makanan yang popular di sini.
“Macam itu barulah pelanggan tidak bosan dengan nasi kandar semata-mata sebab kita pun tahu bila orang KL (Kuala Lumpur) datang Penang memang food hunting,” ujar Mamu G lagi.
Mengulas mengenai perniagaan ini di masa akan datang beliau optimis ia masih dapat diterima berikutan perkhidmatan tersebut berbaloi dan memudahkan.
“Ramai orang tanya habis COVID-19 nanti macam mana? Bagi saya selepas COVID-19 ekonomi kita perlukan masa untuk berkembang, sedangkan ada antara kita yang masih bertarung membina semula pendapatan dan sebagainya.
“InsyaAllah orang di Lembah Klang masih akan menerima perkhidmatan kami yang murah (RM4.00 satu makanan), mudah dan segar dibawakan dari Pulau Pinang.
“Di Lembah Klang kami sediakan 13 stesen pengambilan makanan bagi memudahkan urusan kami dan pelanggan,” katanya.
Bercakap kepada Buletin Mutiara, Joey menyifatkan perkhidmatan mereka ini turut membantu menjana ekonomi penjaja-penjaja di Pulau Pinang.
“Ini kira macam kami berbakti jugalah kepada Penang, bila PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) dilaksanakan kita pun tahu banyak perniagaan terjejas.
“Jadi bila kami bawa pesanan hingga 1,400 bungkusan makanan memang saya rasa ia membantu ekonomi penjaja sebab orang dari luar tidak boleh masuk sini,” maklum Joey.
Mengulas lanjut, Joey berkata pihaknya turut membuka peluang kepada penjaja lain sekiranya berhasrat menjadi vendor kepada nasikandaronline.com asalkan mampu memenuhi pesanan.
“Kami juga tidak mengambil apa-apa lebihan caj keatas makanan, kami cuma kenakan caj penghantaran RM4.00, sebab kita pun tahu musim pandemik ramai terjejas, maka penjaja dan pelanggan pun seronok berkongsi rezeki semacam ini,” ujarnya lagi.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD