BERAPIT – Hospital Bukit Mertajam (HBM) akan menerima mesin Imbasan Tomografi Berkomputer atau CT Scan dalam tahun ini juga, kata Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong semasa melawat ke hospital kerajaan yang berusia 133 tahun di sini pada pagi ini.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata pentadbir hospital berkenaan telah membuat permohonan berwajib sejak tahun 2014 lagi dan Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa pada awal tahun ini telah meluluskan peruntukan sejumlah RM5.5 juta untuk pembelian perolehan mesin imbasan tersebut.
“Setiap tahun lebih kurang 6,000 kes dari Hospital Bukit Mertajam dirujuk ke Hospital Seberang Jaya atau Hospital Pulau Pinang untuk penggunaan mesin CT Scan.
“Oleh sebab itu, memang ada keperluan untuk mempunyai sebuah mesin CT Scan,” jelasnya dalam sidang media berkaitan di sini pada 26 Jun 2023.
Di samping itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Exco Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Pulau Pinang, Dr. Norlela Ariffin dan beberapa pihak lain kerana turut mengambil terlibat dalam meminta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyegerakan proses kelulusan peruntukan bagi membeli mesin CT Scan di sini.
Menjawab soalan pemberita, Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr. Fazilah Shaik Allaudin berkata kelak Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) mempunyai tiga unit mesin CT Scan termasuk seunit masing-masing di Hospital Seberang Jaya dan Hospital Pulau Pinang.
Selain Dr. Fazilah, Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Agama Selain Islam, Chong Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang; ADUN Berapit, Heng Lee Lee; ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon; dan Pengarah Hospital Bukit Mertajam Dr. Goh Hin Kwang turut sertai lawatan ringkas Timbalan Menteri Kewangan II tersebut tadi.
Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB