Hospital Kepala Batas perlu dinaik taraf kepada peralatan lebih canggih, saran ADUN

GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq berharap Hospital Kepala Batas dapat dinaik taraf demi kemudahan rakyat di daerah Seberang Perai Utara (SPU).

Beliau berkata demikian semasa membahaskan ucapan Yang di-Pertua Negeri (TYT) Tun Dr. Abdul Rahman Abbas dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-14, di sini sebentar tadi.

“Saya berharap Hospital Kepala Batas dapat dinaik taraf dari segi pertambahan kakitangan untuk melicinkan lagi perkhidmatan di hospital berkenaan.

“Selain itu, saya juga berharap ia dapat dinaik taraf dari segi peralatan yang lebih canggih bagi meningkatkan kepakaran,” ujarnya sambil menekankan kepentingan sektor kesihatan.

Dalam perkembangan lain, Khaliq Mehtab turut membangkitkan isu kemudahan sukan di kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bertam.

“Pertama sekali saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee kerana menaik taraf padang hoki Bertam bernilai RM4.1 juta di mana ianya pernah melahirkan ramai pemain hoki ternama negeri dan negara.

“Namun, bagi saya pembangunan sukan dapat dirancakkan lagi sekiranya lebih banyak kemudahan dapat dibangunkan di sekolah sebagai salah satu usaha untuk merakyatkan sukan.

“Pembangunan seumpama itu membolehkan golongan belia menggunakan kemudahan sukan di sekolah dan dalam masa sama mereka dapat menajalani gaya hidup yang sihat,” jelas beliau lagi.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALISSALA THIAN