Hospital Kepala Batas terima sumbangan fasiliti tambahan daripada TKM 1

IR. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (dua dari kanan) turut mendapatkan maklum balas berkaitan operasi Zon Hijau Jabatan Kecemasan dan Trauma di Hospital Kepala Batas dekat Bertam pada pagi tadi.

BERTAM – Hospital Kepala Batas menerima sumbangan fasiliti tambahan berupa kontena daripada Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman bagi memenuhi keperluan pesakit bukan kritikal di Zon Hijau, Jabatan Kecemasan dan Trauma di sini.

IR. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (kanan) semasa menyampaikan ucapan perasmian pembukaan operasi fasiliti tambahan yang dilangsungkan secara ringkas di perkarangan Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Kepala Batas tadi.

Ahmad Zakiyuddin yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti memberitahu bahawa Kerajaan Persekutuan sepatutnya meningkatkan lagi peruntukan berkaitan mengikut keperluan sektor perkhidmatan kesihatan awam negara termasuk Pulau Pinang tatkala pandemik COVID-19 sedang memuncak ketika ini.

“Kita (Kerajaan Negeri) faham bahawa tanggungjawab menyediakan kemudahan perkhidmatan kesihatan awam yang berkualiti adalah di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan.

“Oleh itu, dengan kekangan kewangan dan sebagaimana yang ada pada peringkat negeri, saya berharap sumbangan kontena untuk operasi di Zon Hijau di hospital ini dapat meningkatkan lagi mutu perkhidmatan sektor perkhidmatan kesihatan awam negara di Pulau Pinang,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal di sini pada 27 Ogos 2021.

DR. Norhasimawati Abdul Mutalib

Sebelum itu, Pengarah Hospital Kepala Batas, Dr. Norhasimawati Abdul Mutalib merakamkan penghargaan kepada Ahmad Zakiyuddin kerana meluluskan RM27,500 peruntukan berkaitan bagi penyediaan fasiliti tambahan di Zon Hijau di sini.

Di samping itu, beliau turut memberitahu bahawa status Hospital Kepala Batas pada hari ini adalah ‘hospital COVID-19’ yang mana kesemua wad termasuk wad bersalin digunakan untuk pesakit COVID-19 sahaja.

“Walaupun keseluruhan wad di sini untuk pesakit COVID-19, operasi Jabatan Kecemasan dan Trauma di Hospital Kepala Batas ini adalah seperti biasa (iaitu) termasuk menerima pesakit bukan kritikal di Zon Hijau,” jelasnya lagi.

DR. Suhaida Hanis Johari (depan, kanan sekali), Abdul Halim Alias (depan, tiga dari kiri) dan Nik Zarina Md.Noor (depan, dua dari kiri) turut sertai sesi merakamkan gambar kenang-kenangan di depan fasiliti tambahan berupa kontena yang ditukar guna menjadi ruang operasi Zon Hijau Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Kepala Batas

Sementara itu, Ketua Jabatan dan Pakar Perubatan Kecemasan Hospital Kepala Batas, Dr. Suhaida Hanis Johari dalam kenyataan memberitahu bahawa khemah mudah alih pernah dijadikan fasiliti tambahan untuk pesakit tidak kritikal sebelum ini; sehinggalah khemah tersebut rosak akibat dipukul angin ribut dalam suatu kejadian pada 4 Mac lepas.

Ketua Balai Polis Kepala Batas, Inspektor Abdul Halim Alias dan Sarjan Nik Zarina Md. Noor (Sarjan Pentadbiran dan Aktiviti Balai Polis Kepala Batas) turut sertai acara ringkas majlis perasmian fasiliti tambahan tersebut.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB