Hospital Kepala Batas terima sumbangan makanan sampingan bernilai hampir RM8,000

BERTAM – Hospital Kepala Batas hari ini menerima sumbangan berupa pek minuman dan makanan sampingan daripada Pejabat Penyelaras Khas kepada Ketua Menteri yang bernilai hampir RM8,000.

LAY Hock Peng

Pegawai Penyelaras Khas, Lay Hock Peng menyerahkan sumbangan itu kepada Pengarah Hospital Kepala Batas, Dr. Norhasimawati Abdul Wahab dan Timbalan Pengarah (Perubatan), Dr. Hor Chee Peng.

“Apabila saya mendapat panggilan telefon daripada pihak Hospital Kepala Batas, kita terus melancarkan kutipan derma sumbangan daripada orang perseorangan dan tajaan beberapa syarikat swasta.

“Mewakili penderma-penderma, saya berharap sumbangan berupa pek makanan dan minuman ini dapat memberi manfaat kepada anggota barisan hadapan dan para pesakit COVID-19 di hospital ini,” jelas Hock Peng kepada pemberita di sini pada 8 Disember 2020.

Turut serta, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Ooi Yong Wooi dan David Ng (Pembantu Am kepada Pegawai Penyelaras Parlimen Kepala Batas).

DR. Norhasimawati Abdul Wahab

Sementara itu, Dr. Norhasimawati memberitahu bahawa bekalan makanan kepada para pesakit COVID-19 sebenarnya adalah mencukupi dan sama seperti yang dihidangkan kepada pesakit-pesakit yang lain.

“Makanan yang hospital sediakan dah cukup, cuma, kadang-kadang mereka (pesakit COVID-19) mahu makanan sampingan yang lain, maka sebab itulah ada sumbangan daripada pihak berkenaan,” jelasnya lagi.

Menjawab soalan pemberita selepas itu, Dr. Hasimawati memberita bahawa sejak bulan Oktober lalu, lebih 200 pesakit COVID-19 yang tak kritikal dirawat di Hospital Kepala Batas.

“Sehingga kini, yang masih dirawat adalah seramai 52 orang pesakit, sementara, pesakit-pesakit yang kritikal akan dihantar ke Hospital Pulau Pinang (untuk mendapatkan rawatan lanjut),” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada Hock Peng atas sumbangan berkaitan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS