GEORGE TOWN – Hospital medan di tapak parkir Hospital Pulau Pinang (HPP) kini dalam persiapan terakhir dan sedia beroperasi sepenuhnya untuk menempatkan pesakit COVID-19 dalam masa terdekat.
Pengarah HPP, Datuk Dr. Teo Gim Sian berkata bahawa penggunaan katil di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) HPP kini telah mencapai tahap maksimum dan kesediaan hospital medan bagi menampung jumlah pesakit COVID-19 terutama Kategori 4 dan Kategori 5 adalah amat bermakna.
“Di sini (hospital medan) terdapat 96 katil ‘acute’ (acute resuscitation) dan empat katil ICU yang mana kesemuanya dilengkapi dengan (sokongan) oksigen.
“(Dan) sekiranya proses ujian penuh (dry run) berjaya termasuk penggunaan sistem serta atur gerak berjaya, maka kita berharap untuk memasukkan pesakit dalam masa terdekat sama ada malam ini atau esok,” ujarnya kepada pemberita sejurus mengiringi Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow ke lawatan tapak di sini petang ini.
Turut sama, Exco Agroteknologi & Keselamtan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin; Panglima Divisyen Kedua Infantri Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mejar Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Ahmad Rizal Mohd. Hanapiah; Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar merangkap Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng serta pegawai dan kakitangan ATM dan HPP.
Terdahulu, Kon Yeow yang hadir membuat lawatan tapak dan tinjauan persiapan akhir hospital medan berkaitan menzahirkan penghargaan serta ucapan terima kasih kepada semua pihak yang memainkan peranan dalam memastikan segala keperluan dari segi fasiliti dan infrastruktur di hospital medan dipenuhi bagi membolehkan ia beroperasi dengan lancar.
Terima kasih kepada Menteri (Kanan) Pertahanan dan ATM kerana dalam tempoh 10 hari, hospital medan ini telah diusahakan dan sedia untuk beroperasi.
Terima kasih juga kepada Menteri Kesihatan kerana bersama-sama menyediakan kemudahan di hospital ini bagi menampung keperluan pesakit-pesakit COVID-19 Kategori 4 dan 5.
“(Dan) hari ini hospital medan ini telah siap untuk beroperasi,” katanya.
Dalam pada itu, Arman Rumaizi memaklumkan bahawa persiapan di hospital medan tersebut kini pada peringkat akhir.
“Saya akan membuat pelaporan kepada pengurusan tertinggi berhubung kesediaan pengoperasian hospital ini.
“Semua aspek keselamatan telah dilaksanakan oleh pasukan bomba (Jabatan Bomba dan Penyelamat) semalam, dan kini pada fasa akhir bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi oleh semua petugas sewajarnya.
“Malah, aspek keselamatan juga sedang diperkemaskan oleh pihak ATM,” jelasnya.
Sebagai rekod, pembinaan hospital medan ATM di sini siap sehari lebih awal berbanding perancangan awal pengoperasiannya.
ANTARA petugas di Hospital Medan ATM Pulau Pinang yang sedang membuat persiapan akhir.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : LAW SUUN TING