BERTAM – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus mempererat hubungan dengan Kerajaan Negeri demi meningkatkan kesejahteraan dan ketenteraman masyarakat.

Ketua Polis Negeri, Datuk Hamzah Ahmad memberitahu perkara itu kepada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri; serta Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dan isteri, semasa berucap dalam Majlis Sambutan Aidilfitri anjuran PDRM Kontinjen Pulau Pinang di Dewan Temenggung, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) dekat Bertam pada 13 April 2025.
“Majlis ini bukan sahaja menjadi medium untuk mengerat silaturahim dalam kalangan anggota PDRM, malah menjadi ruang untuk memperkukuh hubungan sesama kita tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang.
“Dalam konteks ini juga, hubungan erat PDRM dengan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Negeri serta semua pihak lain dapat dipertingkat lagi,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu Tun Ahmad Fuzi dan Kon Yeow bahawa kadar indeks jenayah negeri bagi tempoh Januari hingga Mac 2025 turun sebanyak 44.8 peratus iaitu daripada 1,128 kes pada tahun lepas kepada 623 kes pada tahun ini.
Angka penurunan tersebut, menurutnya lagi, merangkumi indeks jenayah kekerasan yang menurun sebanyak 30.1 peratus dariapda 243 kes kepada 148 kes.
Dalam tempoh sama, beliau berkata, PDRM Kontinjen Negeri berjaya menumpaskan 5,400 kes berkaitan penyalahgunaan dadah.
“Secara keseluruhannya, tahap keselamatan dan ketenteraman awam di negeri ini adalah selamat dan terkawal,” jelasnya lagi.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Zulkifli Long dan isteri; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid dan isteri; dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Amal TYT Pulau Pinang, Dato’ Seri Sr. Rozali Mohamud dan isteri antara pemimpin negeri yang hadir pada majlis keramaian tersebut.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD ADIL AHMAD
Video : SIEW CHIA EN