Hubungan PP – Arab

WAKIL Kerajaan Arab Saudi (dua dari kanan) menyampaikan Al-Quran sebagai simbolik sumbangan 3,000 naskah Al-Quran kepada Abdul Rahman Haji Abbas (tiga dari kiri) sambil diperhatikan oleh Mansor Othman (kiri sekali), Datuk Seri Farizan Darus (dua dari kiri), Datuk Abdul Halim Hussain (tiga dari kanan) dan Abdul Malik Abul Kassim (kanan sekali), di sini.
WAKIL Kerajaan Arab Saudi (dua dari kanan) menyampaikan Al-Quran sebagai simbolik sumbangan 3,000 naskah Al-Quran kepada Abdul Rahman Haji Abbas (tiga dari kiri) sambil diperhatikan oleh Mansor Othman (kiri sekali), Datuk Seri Farizan Darus (dua dari kiri), Datuk Abdul Halim Hussain (tiga dari kanan) dan Abdul Malik Abul Kassim (kanan sekali), di sini.

 

GEORGE TOWN – Sebaik menerajui Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada tahun 2008, Kerajaan Negeri telah mengorak langkah menjalin kerjasama dengan semua pihak, dalam dan luar negara demi kepentingan rakyat negeri ini.

Di peringkat antarabangsa antara yang menjadi tumpuan adalah negara-negara Islam di Timur Tengah. 

Saya telah memulakan lawatan  ke negara-negara berkenaan pada September 2008. Kemudian pada 4 Jun hingga 8 Jun 2009, saya melakukan  lawatan susulan, bertujuan mempromosikan Pulau Pinang ke persada dunia sebagai sebuah negeri perindustrian dan hab halal antarabangsa”, jelas Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Abul Kassim. 

Menurut Abdul Malik lagi, pada lawatan tersebut, beliau telah mengadakan beberapa perbincangan dengan beberapa buah syarikat dan organisasi yang telah menunjukkan minat semasa ‘Malaysia International Halal Showcase 2009’ (MIHAS) dan ‘World Halal Forum 2009’ serta yang telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Halal Penang. 

Beberapa kejayaan penting telah dicatat dalam lawatan tersebut di antaranya ialah kesefahaman dengan Syarikat Al-Mataf Global yang menandatangani MoU berkaitan kepakaran pengurusan hotel. Termasuklah MoU dengan Al-Jawhara Groupe Of Hotel dari UAE  dalam membangunkan industri hospitaliti berasaskan syariah,” jelas beliau yang juga Pengerusi Halal Penang. 

Kerajaan Negeri, tambah Abdul Malik, sentiasa menjalinkan hubungan erat, dengan negara-negara berkenaan, termasuk mengadakan pertemuan dengan Duta Malaysia ke Arab Saudi.  Ia bertujuan mempromosikan Pulau Pinang sebagai destinasi penting bagi industri dan pelancongan.  

Sementara itu, dalam bidang pendidikan, Abdul Malik  telah mengadakan perbincangan bersama wakil dari Universiti Islam Al-Imam Muhamaad Ibn Saud Islamic, iaitu institusi pendidikan tersohor di Tanah Arab di mana ikhtisas pengajian adalah menjurus kepada bidang perundangan syariah. Kerjasama tersebut terus dijalin melalui kedutaan besarnya di Kuala Lumpur.

Pada tahun 2010 Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memohon sumbangan Al-Quran daripada Kerajaan Arab Saudi. Semenjak itu, sempena Program Bulan-bulan Al-Quran yang dilancarkan oleh Tuan Yang Terutama Yang DiPertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato’ Seri Utama Dr. Hj. Abdul Rahman Haji Abbas, Kerajaan Arab Saudi telah menyumbangkan sejumlah kitab suci Al-Quran untuk rakyat Pulau Pinang yang disampaikan melalui Timbalan Duta Besar Arab Saudi di Kuala Lumpur.