GEORGE TOWN – Ternyata Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang menghargai kesungguhan dan ketekunan para hafiz dengan memberi pengiktirafan kepada lebih 260 hafiz (penghafal al-Quran – lelaki) dan hafizah (penghafal al-Quran – perempuan) dalam sebuah Majlis Pengiktirafan al-Hafiz dan Ijtimak al-Huffaz Negeri Pulau Pinang 1432H di sini.
Pada majlis yang bertemakan ‘Satu Keluarga, Satu Hafiz’ tersebut turut menyaksikan penyampaian anugerah-anugerah khas dalam memberi pengiktirafan kepada individu yang cemerlang dalam menjadikan al-Quran sebagai landasan hidup dan kerjaya mereka.
Antaranya Solehah Zahari, 17 yang dianugerahkan sebagai Anugerah Tokoh al-Hafiz Termuda; pesara Haji Ilyas Haji Hassan, 63 bersama isteri Hendon Zakaria dan enam cahaya mata yang juga hafiz dan hafizah dianugerahkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Keluarga al-Hafiz dan Ahmad Tajuddin Ismail, 64 yang merupakan pensyarah di KITAB dan Imam rawatib di Masjid Negeri dianugerah sebagai Tokoh Guru al-Hafiz 1432H.
Selain itu, Anugerah Tokoh Khas al-Hafiz diberikan kepada Mohd. Hafizulsham Mohd. Hanafiah, 28, yang merupakan seorang guru tahfiz yang mengajar di Negeri Kedah dan merupakan seorang yang kelainan upaya (OKU).
Manakala penerima Anugerah Tokoh Khas al-Hafizah diterima oleh Dr. Nurul Hafizah Yusoff, 26 yang merupakan seorang pegawai perubatan di Hospital Seberang Jaya dan merupakan penerima anugerah hafazan peringkat kebangsaan pada tahun 2002.
Bagi Anugerah Khas Tokoh al-Hafiz Negeri Pulau Pinang 1432H diterima oleh Haji Ahmad al-Hashim al-Hafiz, 46, yang merupakan bekas penuntut di Maahad Qira’at Shubra al-Azhar di Mesir dan salah seorang pensyarah KITAB di sini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, jumlah penerima anugerah dan sumbangan bertambah dari tahun ke tahun iaitu seramai 103 penerima pada 2008, 2009 (130), 2010 (180), 2011 (260).
“Saya tahu bukan mudah untuk melahirkan seorang hafiz yang bukan sahaja cemerlang sahsiahnya malah cemerlang dalam menghafal al-Quran. Malah dengan komitmen yang tinggi dan disiplin diri serta mempunyai jiwa yang besar sahaja mampu melahirkan insan cemerlang seperti para hafiz dan hafizah sekalian.
“Justeru, Kerajaan Negeri sememangnya menaruh harapan yang tinggi kepada para huffaz sekalian selaku generasi pewaris kepimpinan negara dan menjadi contoh terbaik dalam aspek pembangunan sahsiah mencakupi rohani dan jasmani,” tambah ketika berucap pada majlis berkenaan di sini baru-baru ini.
Majlis turut dihadiri Yang Dipertua Negeri, Tuan Yang Terutama Tun Dr. Abdul Rahman Abbas, Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Abul Kassim dan Speaker Dewan Undangan Negeri, Abdul Halim Hussain.
Kesemua penerima menerima sumbangan dan penghargaan wang tunai beserta sijil penghargaan daripada Kerajaan Negeri.