BATU LANCANG – Dua premis makanan di Jalan Tan Sri Dr. Teh Ewe Lim dan Jalan Jelutong di sini diarahkan tutup 14 hari berkuat kuasa hari ini.
Menurut Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Pelesenan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), M. Bawani, arahan tersebut dikeluarkan selaras dengan Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan 39 (1) 1991 ekoran terdapat hurungan dan najis tikus.
“Hari ini kita jalankan operasi penutupan premis bilangan kedua bagi tahun 2020, sebanyak tiga premis telah dijalankan pemeriksaan, dan daripada jumlah tersebut dua daripadanya telah diarahkan tutup akibat wujudnya hurungan dan najis tikus.
“Selain itu kita telah mengeluarkan lapan kompaun di atas kesalahan pencemaran silang ataupun cross contamination.
“Pencemaran silang ini adalah pencemaran antara makanan yang sudah dimasak dan sedia untuk dimakan, contohnya air minuman diletakkan sekali bersama ikan mentah, tauhu dan itu adalah satu kesalahan yang boleh menyebabkan pencemaran silang,” ujar Bawani sejurus mengetuai operasi penguatkuasaan di sini pagi ini.
Seramai lapan anggota penguatkuasa menyertai operasi bersepadu pagi ini.
Mengulas lanjut, Bawani memberitahu bahawa antara kesalahan lain yang turut dikenakan kompaun adalah kesalahan pengendali makanan yang berkuku panjang.
“Bagi premis yang diarahkan tutup, pemilik premis boleh membuka semula premis minimum tiga hari setelah kerja-kerja pembersihan dijalankan dan pegawai MBPP berpuas hati dengan tahap kebersihan.
“Untuk pencemaran silang, kompaun minimum adalah RM100 dan maksimum RM250,” jelas beliau.
Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI