Ibarat pemimpin dan rakyat berpisah tiada, Kon Yeow seru rakyat pilih perpaduan

Admin

SERI DELIMA – Semangat kerja berpasukan dalam kalangan pimpinan negeri dan rakyat telah menjadi tunjang serta kekuatan kepada negeri Pulau Pinang dalam mewujudkan suasana harmoni dan sejahtera sejak mengambil alih tampuk pentadbiran 15 tahun lalu.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, ibarat hubungan antara pemimpin dan rakyat berpisah tiada, pimpinan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang sentiasa bergerak seiringan dalam kesepaduan demi kemakmuran dan kesejahteraan semua.

“Dalam beberapa hari lagi, genaplah penggal ketiga (Pakatan Harapan, PH diberi mandat menerajui Pulau Pinang), maknanya kita (pimpinan PH Pulau Pinang) sudah berkhidmat untuk negeri ini selama 15 tahun.

“Walaupun menghadapi pelbagai cabaran untuk berkhidmat di kawasan yang besar seperti Parlimen Bukit Gelugor dengan populasi penduduk yang ramai, namun jentera Kerajaan Negeri bersama-sama pihak berkuasa tempatan telah berusaha sebaik-baiknya demi menjaga kesejahteraan serta membawa pembangunan kepada rakyat di negeri ini.

“Banyak usaha yang dilakukan, dengan daya, inisiatif dan sokongan daripada komuniti, sektor swasta, agensi serta pihak berkuasa tempatan negeri, maka kita harus berasa bangga dengan pencapaian dan prestasi Pulau Pinang di persada negara kita.

“Baik dari segi pelaburan, perkhidmatan, pelancongan, pembangunan agama Islam dan bukan Islam, pembangunan infrastruktur, modal insan, kemudahan asasi dan paling penting adalah semangat perpaduan serta toleransi yang dipupuk selama ini.

“Walaupun pada mulanya, ramai yang tidak mengerti perjuangan Pakatan Rakyat ketika itu, seperti (pepatah) tak kenal maka tak cinta tetapi setelah 15 tahun pentadbiran, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang memastikan tidak ada pihak yang dipinggirkan dalam arus pembangunan di negeri ini,” ujarnya pada Majlis Rumah Terbuka ADUN Seri Delima dan Parlimen Bukit Gelugor di Padang Koperasi Sungai Gelugor dekat sini pada 1 Mei 2023.

LAKSA antara juadah laris di Majlis Rumah Terbuka ADUN Seri Delima dan Parlimen Bukit Gelugor di sini.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan memberitahu bahawa beliau bersyukur kerana dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lepas, berlakunya transformasi dalam pentadbiran pada peringkat Persekutuan.

“Keputusan PRU15 lepas telah menyaksikan perubahan dan transformasi besar yang mana Kerajaan Perpaduan ditubuh, mewakili sebahagian besar rakyat berbilang kaum, agama dan budaya dari Perlis sehingga Sabah.

“Saya percaya, Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri kini akan dapat menghadapi cabaran serta mengorak langkah ke hadapan dan membawa negara kita ke persada antarabangsa.

“Itulah yang diharapkan oleh semua pimpinan Pakatan Harapan, mahu rakyat sejahtera dan bersatu padu, justeru, marilah kita pilih perpaduan, tolak perpecahan serta rela membawa ‘Harapan’ dan mewakili ‘Perpaduan’.

“Oleh itu, kami menyeru semua rakyat Pulau Pinang untuk bersama-sama Pakatan Harapan dalam memastikan perpaduan dicapai seterusnya membawa negeri kita dan negara tercinta ke masa depan yang lebih cerah serta menjanjikan kesejahteraan, pembangunan mampan dan persekitaran lebih baik buat anak dan cucu-cicit kita pada masa hadapan,” serunya sambil menzahirkan penghargaan kepada semua rakyat yang sentiasa menyokong Pakatan Harapan.

Terdahulu, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) turut menzahirkan penghargaan atas sokongan dan jalinan kerjasama semua pihak terhadap beliau selama ini.

“Semangat kerjasama inilah yang disemai dalam Kerajaan Perpaduan demi memastikan rakyat dapat menikmati pembangunan dan perubahan positif.

“Saya berharap, Pakatan Harapan terus diberi peluang untuk menerajui pimpinan bukan sahaja di Pulau Pinang malah di negeri-negeri lain pada peringkat negeri dan Persekutuan,” katanya selaku tuan rumah bagi penganjuran majlis rumah terbuka tersebut.

HIDANGAN seperti sate ini sering mendapat sambutan dalam kalangan hadirin di majlis-majlis seperti ini.

Hadir sama, ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen; ADUN Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit; Setiausaha Bandaraya bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran dan Pengerusi Parti Amanah Pulau Pinang, Dr. Roslan Ahmad.

Majlis rumah terbuka anjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Gelugor dan MPKK Taman Tun Sardon itu diserikan dengan persembahan pentas dan juadah istimewa seperti nasi tomato, ayam masak merah, sate, laksa, apam balik, bubur kacang hijau dan ais kacang.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : SIEW CHIA EN