MINGGU pertama sesi persekolahan 2024/25 diisi dengan pelbagai aktiviti dan program yang menarik bagi mewujudkan suasana menyeronokkan dan persekitaran yang mesra di sekolah.
Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) melalui kenyataan Pengarah Pendidikan Negeri memaklumkan bahawa pelaksanaan tanpa kelas akademik pada minggu pertama persekolahan itu dapat memberi ruang kepada murid dan guru untuk bersedia sepenuhnya baik dari aspek emosi mahupun jasmani.
Malah, ia juga dilihat menjadi penentu pembentukan karamah insaniah untuk tempoh jangka masa yang panjang.
Susulan itu, wartawan pelatih Buletin Mutiara ke Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Permai bagi mendapatkan pandangan Guru Besar, MOHAMMAD SABARULLAH SHAIKH ISMAIL berhubung perkara ini.
Menurut Mohammad Sabarullah, beliau berpendapat bahawa rancangan satu minggu tanpa sesi pembelajaran dan pengajaran (PdP) ini dapat memberi impak yang baik kepada para murid terutamanya murid Tahun 1 yang baru memasuki alam persekolahan.
“Program yang dilakukan di dalam setiap kelas dapat mendekatkan hubungan antara guru dan murid.
“Di samping itu, ia juga dapat memberikan keyakinan kepada murid-murid bahawa sekolah merupakan tempat yang selamat dan sesuai untuk mereka menunjukkan bakat mereka,” ujarnya.
Tambahnya lagi, setiap guru turut memainkan peranan dalam memastikan program-program yang telah dirancang di bawah panitia masing-masing berjalan dengan lancar.
Bagi NUR SYAFINAZ SAMSUL KAMAL, 32, ibu kepada MUHAMMAD EMAN ZIYYAD MOHD. TAMIZI, 7 ketika ditemui menzahirkan rasa teruja apabila berkesempatan menghantar dan melihat anaknya memasuki sekolah pada hari pertama.
“Saya rasa seronok kerana dapat memberi pendidikan awal kepada anak saya dengan menghantarnya ke sekolah untuk menjadi seorang yang bijak dan rajin belajar agar dapat menjamin masa depannya suatu hari nanti.
“Persiapan untuk hari ini juga agak tenang kerana semuanya sudah disediakan dua hari sebelum mulanya persekolahan kerana terlalu teruja,” kata Nur Syafinaz.
Begitu juga Muhammad Eman Ziyyad yang cukup gembira kerana dapat memasuki alam persekolahan yang baharu dan mempunyai ramai kawan.
“Pagi ini saya tak rasa malas untuk ke sekolah kerana saya gembira untuk memulakan pembelajaran,” katanya yang bercita-cita mahu menjadi juruterbang suatu hari nanti.
Bagi MIOR MUHAMMAD MIOR MOHD. TAHIR pula, beliau turut berasa gembira dapat menghantar anaknya, MIOR MUHAMMAD HAYKAL MIOR MUHAMMAD, 7, ke sekolah yang pernah dihadirinya sebelum ini.
“Saya tidak berasa sedih malah gembira kerana dapat menghantar anak ke sekolah ini kerana saya juga merupakan alumni sekolah ini.
“Tambahan pula, sekolah ini telah dinobatkan sebagai antara tiga sekolah teratas bagi Anugerah Sekolah Terbaik Dunia menerusi kategori inovasi, jadi saya tidak mempunyai sebarang keraguan terhadap potensi sekolah ini,” jelas Mior Muhammad.
Menjelang bulan puasa, NADIAH SHAMSUDIN, 36, sudah sedia membuat persiapan bagi anaknya yang dipanggil sebagai ANNUR ZAHRA, 7, agar sentiasa kekal aktif di sekolah.
“Saya akan pastikan anak saya membawa bekal setiap hari atau makan di rumah sebelum ke sekolah, sebab seperti yang kita tahu murid Darjah 1 masih tidak digalakkan untuk berpuasa.
“Saya juga difahamkan bahawa kantin sekolah akan tetap beroperasi seperti biasa, jadi tiada masalah sekiranya untuk dia membeli makanan ketika waktu rehat,” katanya.
Rata-rata ibu bapa yang ditemui turut menggalakkan anak-anak untuk sentiasa meminum air dan mengelakkan sebarang aktiviti luar yang terlalu lama apatah lagi ketika cuaca panas kini.
Terdahulu, melalui laporan media, dimaklumkan bahawa seramai lima juta murid bermula dari peringkat prasekolah sehingga Tingkatan 6 memulakan sesi persekolahan pada 10 dan 11 Mac lalu mengikut Kumpulan.
Difahamkan, di Pulau Pinang, seramai 21,053 murid Tahun 1 daripada 117,585 murid sekolah rendah memulakan hari pertama persekolahan pada 11 Mac lalu bagi Kumpulan B.
Oleh : NUR SYAKIRAH MOHD. BASRI Foto : LAW SUUN TING