Ibu bapa, pengurusan pusat jagaan diseru kekal waspada perangi penularan HFMD – Exco

d8dcf120 71ba 4eeb 86f5 16ccc73f1b7f

GEORGE TOWN – Setakat Minggu Epidemiologi (ME) ke-15 yang bermula pada 6 hingga 12 April 2025, sebanyak 579 kes baharu penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) telah dilaporkan di negeri ini.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata bahawa telah berlaku peningkatan sebanyak 353 kes atau 156.2 peratus berbanding minggu sebelumnya.

Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan mesyuarat khas bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH); Persatuan Pengusaha Institusi Pendidikan Pulau Pinang dan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) bagi membincangkan situasi semasa penularan HFMD di negeri dekat Komtar sebentar tadi.

“Dalam tempoh ini, 4 kluster baharu turut dilaporkan, peningkatan ini dipercayai berlaku susulan cuti perayaan Aidilfitri baru-baru ini.

“Namun begitu, kesemua kes yang dilaporkan di Pulau Pinang menunjukkan gejala ringan dan telahpun diberikan rawatan pesakit luar, tiada kes yang mengalami komplikasi teruk atau memerlukan rawatan intensif,” ujarnya menerusi kenyataan media yang dikeluarkan sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Zi Sen turut menyeru agar semua pihak berwaspada dan mengambil langkah-langkah pencegahan untuk mengurangkan risiko dijangkiti.

18db314f 60dd 41c4 a84c 24bc6193e01f

07b1697f 857e 478e 93fa 43a89d618ab0
CONTOH penularan gejala HFMD yang telah dilaporkan.

“Bagi mengurangkan risiko dijangkiti dan menangani peningkatan kes HFMD ini, semua dinasihatkan agar menjaga kebersihan diri, rumah dan persekitaran.

“Tidak lupa juga, elak menghantar anak yang menunjukkan gejala atau tanda jangkitan ke pusat jagaan atau sekolah, segera bawa anak ke klinik atau hospital yang terdekat.

“Malah, pengusaha dan pihak pengurusan pusat jagaan dan pendidikan awal kanak-kanak seperti taska, tabika, tadika, dan pra-sekolah juga digesa untuk melaksanakan saringan di pintu masuk serta menyahkuman permukaan yang tercemar di pusat jagaan.

“Maka, saya percaya dengan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, JKNPP dan semua pengusaha, penularan HFMD mampu dibendung secara berkesan,” jelasnya lanjut.

Sebelum ini, sehingga 12 April 2025, Pulau Pinang telah merekodkan sebanyak 4,585 kes kumulatif HFMD, berbanding pada tahun 2024 iaitu hanya 879 kes dalam tempoh yang sama.

Seberang Perai Tengah (SPT) telah mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 1,362 kes, diikuti oleh Seberang Perai Selatan, SPS (884), Timur Laut (852), Barat Daya (845) dan Seberang Perai Utara (642).

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : ALISSALA THIAN