CUTI penggal akhir persekolahan merupakan saat yang paling ditunggu-tunggu oleh kebanyakan anak-anak selepas beberapa bulan bertungkus-lumus menelaah pelajaran.
Bagi ibu bapa pula, cuti sekolah selalunya dimanfaatkan untuk meluangkan masa bersama anak-anak terutamanya dengan membawa mereka melancong ke tempat-tempat menarik.
Namun begitu, susulan peningkatan kes COVID-19 mutakhir ini, rata-rata ibu bapa berkata mereka memilih langkah selamat untuk mengisi masa cuti persekolahan yang akan bermula pada 26 Februari ini.
Penjawat awam, JALIAH SHARI berkata bahawa beliau memilih untuk menghabiskan lebih banyak masa bersama anak-anak di rumah pada cuti persekolahan selepas mengambil kira faktor keselamatan.
Katanya, peningkatan kes COVID-19 terutamanya membabitkan varian Omicron menjadikan persekitaran di luar rumah kini tidak lagi selamat untuk anak-anak.
“Biasanya pada musim cuti sekolah saya akan bawa anak-anak melancong atau pulang ke kampung halaman tetapi pada kali ini kami memilih untuk menghabiskan masa di rumah sahaja atas faktor keselamatan.
“Ini bukan bermaksud anak-anak akan berada di rumah 24 jam… kalau ada masa terluang mungkin saya akan bawa mereka ke lokasi berdekatan yang tidak terlalu sesak dengan orang ramai.
“Sebenarnya banyak perkara boleh dilakukan bersama anak-anak di rumah seperti memasak, bercucuk tanam, bermain dan sebagainya namun ibu bapa perlulah kreatif untuk menjadikan aktiviti ini lebih menarik,” katanya kepada Buletin Mutiara.
Seorang lagi responden, NOR IDAYU MAZLAN, peniaga, ketika dihubungi berkata bahawa cuti penggal akhir persekolahan akan dimanfaatkan oleh anak-anaknya untuk bergiat lebih aktif dalam aktiviti sukan yang mereka minati.
“Anak-anak saya minat bersukan terutamanya badminton dan renang, malah kedua-duanya mempunyai jurulatih khas dalam sukan badminton.
“Memandangkan cuti sekolah kali ini kami tidak merancang untuk melancong ke mana-mana, jadi anak-anak saya boleh fokus kepada latihan mereka,” ujarnya yang mempunyai dua cahaya mata lelaki.
TEOH WEI XIAN, kerani, pula berkata beliau dan keluarga tidak mempunyai rancangan untuk melancong ke luar negeri memandangkan jumlah kes baru COVID-19 kini semakin meningkat.
“Kami cuma pertimbangkan untuk melawati tempat-tempat menarik dalam negeri Pulau Pinang sahaja, itupun bergantung kepada keadaan semasa
“Walaupun anak saya sudah menerima vaksinasi tetapi saya tetap bimbang mereka dijangkiti… jadi lebih baik lakukan aktiviti di rumah sahaja.
“Lagipun inilah masanya untuk anak-anak berehat sebelum mereka menyambung semula sesi persekolahan di peringkat sekolah menengah pada bulan Mac nanti,” katanya lagi.
Perkara sama turut disuarakan oleh seorang guru yang mahu dikenali sebagai VASANTI, menyatakan bahawa situasi ketika ini dilihat tidak selamat untuk melancong sama ada dalam atau luar negara.
Oleh itu katanya, kesemua tiga anaknya hanya dibenarkan bermain di rumah untuk mengisi masa lapang bagi menghindarkan mereka daripada jangkitan COVID-19.
“Di sini peranan ibu bapa sangat penting yang mana kita perlu lebih kreatif dengan mengadakan aktiviti yang menyeronokkan seperti membuat kraftangan, mewarna, permainan berkaitan sains dan banyak lagi.
“Masa bermain juga penting untuk kanak-kanak kerana biasanya mereka juga akan belajar sesuatu melalui permainan selain dapat mengurangkan tekanan.
“Dengan cara ini, anak-anak dapat mengisi masa cuti mereka dengan pengalaman yang menyeronokkan tanpa semata-mata menonton televisyen atau menggunakan telefon bimbit,” jelasnya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR