BERDASARKAN laporan media arus perdana pada 3 Februari 2022, pemberian vaksin pada hari pertama Program Imunisasi COVID-19 Untuk Kanak-Kanak atau PICKids berjalan lancar yang mana kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun sekitar Lembah Klang mula menerima suntikan dos pertama di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi.
Difahamkan, melalui PICKids ini, seramai 4.1 juta kanak-kanak bakal menerima vaksin demi melindungi mereka daripada virus COVID-19. Di bawah program ini, kanak-kanak akan menerima vaksin jenis Comirnaty (Pfizer-BioNTech) dan memerlukan dua suntikan dos dengan sela masa lapan minggu selepas dos pertama.
Justeru, wartawan Buletin Mutiara, NUR ASHIKIN ISMAIL cuba mendekati beberapa responden yang terdiri daripada ibu bapa mempunyai anak kecil bagi mendapatkan pandangan mengenai PICKids ini.
MAWARNI ISMAIL, 38, menyokong inisiatif PICKids kerana yakin bahawa vaksinasi mempunyai banyak kebaikan dan manfaat.
“Saya sangat bersetuju program ini dilaksanakan kerana kini terdapat pelbagai varian COVID-19 yang boleh mengancam nyawa bukan sahaja golongan dewasa, malahan juga kanak-kanak.
“Oleh itu, langkah terbaik pada ketika ini adalah dengan menerima suntikan vaksinasi bagi membantu sistem ketahanan badan menentang varian tersebut,” jelas ibu kepada tiga cahaya mata yang bakal menerima janji temu pemberian vaksin setelah mendaftar baru-baru ini.
Sementara itu, MOHD. NAJIB YUSOF, 38, berkongsi rasa bimbang akan keselamatan anak-anaknya di sekolah sekiranya tidak divaksin.
“Sesi persekolahan telah berjalan seperti biasa, kebarangkalian jangkitan berpunca dari sekolah juga amat tinggi dan perlu dikhuatirkan.
“Jika murid-murid diberikan suntikan vaksin, risiko jangkitan di sekolah dapat dikurangkan,” kataya sambil menyifatkan para guru juga perlu kekal berwaspada dengan kondisi murid di kelas.
Selain itu, MOHD. NURUL HAKIMI ISMAIL, 40, berpendapat bahawa walaupun kanak-kanak kurang dijangkiti, mereka tetap memerlukan perlindungan apabila berada di luar persekitaran rumah.
“Peratusan kanak-kanak yang dijangkiti virus COVID-19 kurang jika dibandingkan dengan golongan dewasa walaupun telah divaksin.
“Oleh itu, kita tidak perlu tunggu hingga peratusan tersebut meningkat dan segerakan janji temu pemberian vaksin bagi mengelakkan mereka (kanak-kanak) berdepan risiko selepas jangkitan COVID-19 seperti ‘long covid’,” ujarnya yang menganggap usaha ini sebagai ikhtiar demi keselamatan kanak-kanak.
Bagi SALINA SALLEH, 37, beliau menyeru ibu bapa lain untuk menyokong program imunisasi tersebut kerana yakin vaksin selamat.
“Seperti yang telah dimaklumkan oleh KKM, pemberian vaksin terhadap kanak-kanak terbukti selamat dan telah diuji di luar negara sebelum diberi kelulusan di Malaysia.
“Oleh itu, ibu bapa tidak perlu khuatir akan kesan sampingan yang mungkin bakal dihadapi kanak-kanak kelak kerana tiada yang membahayakan sebaliknya mereka lebih dilindungi,” katanya yang bertugas sebagai jururawat.
Menurut MOHD. SALLEH ISMAIL, 42, beliau amat memahami jika terdapat segelintir ibu bapa yang risau akan kesan sampingan dan mengharapkan mereka lebih bersikap terbuka.
“Pihak Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk memberikan 1/3 dos suntikan berbanding dewasa setelah meneliti data-data klinikal dan data sebenar dari negara lain.
“Maka dos suntikan tersebut tidaklah terlalu kuat dan bersesuaian dengan daya ketahanan badan kanak-kanak yang berusia lima hingga 11 tahun,” tambahnya lagi.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan dilaporkan memberitahu bahawa sejak 1 Januari 2022, sebanyak 9,413 kes COVID-19 direkodkan melibatkan kanak-kanak berusia tujuh hingga 11 tahun yang tidak dilindungi vaksin.
Teks & Gambar: NUR ASHIKIN ISMAIL