Ibu tunggal Air Itam dibantu

Admin

Oleh: ZULIANA AZIZ

WONG Hon Wai (kiri sekali) bertanyakan keadaan Gan Mei Mei serta anak-anaknya sempena lawatan khas beliau ke kediaman ibu tunggal tersebut di sini baru-baru ini.
WONG Hon Wai (kiri sekali) bertanyakan keadaan Gan Mei Mei serta anak-anaknya sempena lawatan khas beliau ke kediaman ibu tunggal tersebut di sini baru-baru ini.

AIR ITAM – Bersempena dengan sambutan Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai bukan sahaja telah menghadiahkan bunga sebagai tanda penghargaan kepada para wanita di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN)nya, malah, turut mengunjungi seorang ibu tunggal yang pernah dibantunya sebelum ini.

Sebelum ini, Hon Wai bukan hanya melancarkan kutipan derma bagi membiayai kos rawatan mendiang suami ibu tunggal, Gan Mei Mei, 36, (meninggal dunia Ogos tahun lalu) yang mengidap penyakit kanser hidung. Malah, selepas pemergian mendiang suaminya, Hon Wai turut membantu mendapatkan sebuah unit kediaman dengan sewa bulanan serendah RM110 kepada keluarga terbabit.

Pada masa sama, Hon Wai yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Bandar dan Desa, Perumahan dan Kesenian turut komited untuk membantu keluarga berkenaan sehingga empat anaknya mencapai usia 18 tahun.

Mei Mei berkata, selepas suaminya meninggal, beliau telah kehilangan sumber pendapatan lalu meminta bantuan daripada Hon Wai. Dengan bantuan daripada ADUN Air Itam berkenaan, barulah mereka dapat berpindah ke rumah yang didiami sekarang dengan sewa bulanan yang amat murah.

“Bantuan tersebut banyak membantu kami sekeluarga kerana saya tidak boleh keluar bekerja memandangkan anak bongsu yang baru mencecah usia setahun memerlukan perhatian penuh,’’ katanya pada sesi lawatan khas Hon Wai dan isteri ke kediamannya di sini baru-baru ini.