Ibu tunggal titis air mata terima bantuan

Oleh : YAP LEE YING
Gambar : MARK JAMES

GEORGE TOWN – Walaupun tidak seberapa, tawaran untuk menyewa seunit kediaman di Flat Free School di sini atas inisiatif Kerajaan Negeri begitu menyentuh sanubari ibu tunggal, R. Muniamah, 3.

Muniamah yang kehilangan suami sejak lapan bulan lalu kini terpaksa kais pagi makan pagi, kais petang makan petang bagi menyara kehidupan beliau bersama dua anaknya, R. Nancy, 12 dan R. Rosaalin, 8.

Muniamah yang kini bekerja sebagai tukang cuci di sebuah bangunan perdagangan di sini menyatakan bahawa selepas kematian suami, beliau telah berpindah dari rumah ibu mertuanya untuk menetap di sebuah bilik sewa di Batu Maung di sini.

“Dengan gaji bersih RM700, saya terpaksa bayar sewa bilik bernilai RM250 sebulan.

“Disebabkan jarak rumah dari sekolah anak-anak terlalu jauh, RM200 digunakan untuk membayar upah pengangkutan, RM150 pula untuk ansuran motosikal yang baru dibeli suami empat bulan sebelum beliau meninggal dunia,” katanya ketika ditemui Buletin Mutiara pada Majlis Penyampaian Sumbangan Disempurnakan Timbalan Ketua Menteri II di sini baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, Muniamah yang berasal dari Kulim, Kedah menerima cek bernilai RM500 sumbangan Cawangan DAP Lintang Delima bagi tujuan pembayaran deposit penyewaan, deposit air/elektrik dan bayaran sewa sebulan unit kediaman berkenaan.

Turut disumbangkan adalah hamper bernilai RM100, baucer membeli-belah (RM500) dan baucer barangan dapur, RM250 yang ditaja sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Kumpulan Ambalatha.

Hadir sama menyempurnakan majlis tersebut adalah Pengerusi Cawangan DAP Lintang Delima, A. Prem.

Dalam pada itu, Nancy yang turut gembira ekoran memperoleh rumah baru menyatakan bahawa beliau amat rindu untuk bermanja dengan bapanya.

“Terima kasih kerajaan (Kerajaan Negeri) kerana bantu kami sekeluarga,” senyumnya sambil menyatakan bahawa cita-cita beliau adalah untuk menjadi seorang guru.

Ketika Nancy menyatakan cita-citanya kepada Buletin Mutiara, adik beliau, Rosaalin mencelah menyatakan bahawa beliau bercita-cita untuk menjadi seorang doktor.

Melihat gelagat anak-anaknya, Muniamah tersenyum sambil menitiskan air mata.

Bagi mereka yang ingin membantu Muniamah, sumbangan  boleh disalurkan menerusi akaun Maybank, Muniamah a/p Ragaya bernombor, 15 707 2322 312.

Sementara itu, nasib seorang kanak-kanak berusia lapan tahun, S. Mogeshwaran yang mengidap penyakit Hirschprung turut memperoleh perhatian Kerajaan Negeri.

Mogeshwaran yang memerlukan RM55,000 bagi menjalani pembedahan menerima sumbangan bernilai RM6,000 hasil sumbangan Lembaga Wakaf Hindu (RM5,000) dan peruntukan Ramasamy (RM1,000).