Identiti rakyat Malaysia matang dan tulus bantu jana kemakmuran dan keharmonian negara

SEBERANG JAYA – Identiti rakyat Malaysia yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dapat menjana kemakmuran dan keharmonian di Malaysia, ujar Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng.

Katanya, sebagai rakyat Malaysia yang matang dan tulus, perayaan Deepavali ini dapat diraikan dengan penuh rasa ceria walaupun terdapat cubaan pihak tertentu menggugat keakraban antara kaum.

“Hari Deepavali atau Pesta Cahaya ini adalah sambutan tanda kemenangan kuasa baik yang mengatasi kuasa kejahatan bagi penganut agama Hindu.

“Dalam konteks negara Malaysia yang terdiri daripada bangsa yang berbilang kaum, sudah semestinya kita bertuah kerana dapat bersama-sama berkongsi dan menikmati lebih daripada satu perayaan besar dalam setahun.

“Pesta Cahaya jika diterjemahkan dalam konteks kehidupan, sudah semestinya kita mahukan kemenangan dan juga nilai positif demi memartabatkan keagungan bangsa kita di Malaysia,” ucapnya semasa hadir meraikan program Fiesta Deepavali sempena perayaan Deepavali di Tapak Pesta Seberang Jaya, di sini pada 12 Okober lalu.

Chong Eng menyertai upacara penyalaan ‘kuttu vilakku’ sempena Fiesta Deepavali baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Chong Eng memberitahu bahawa cahaya dalam pemahaman masyarakat Hindu dilihat sebagai kekuatan dan sinar baru untuk masyarakat berubah dari satu tahap yang baik berbanding sebelumya.

“Peribahasa Melayu mengatakan ‘bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat’ menunjukkan permuafakatan serta kerjasama berterusan tanpa mengira bangsa adalah tunjang kejayaan buat negara Malaysia.

“Selain itu, saya juga ingin mengucapkan syabas dan berasa bangga kerana seorang wanita daripada Persatuan Kemajuan Wanita Pulau Pinang (Perjuanita) berjaya menganjurkan fiesta ini.

“Saya harap wanita akan lebih tampil ke depan untuk menunjukkan bahawa mereka (wanita) boleh melakukan aktiviti yang dilakukan oleh golongan lelaki terutama aktiviti perniagaan.

“Belanjawan 2020 juga memberi peruntukan kepada golongan wanita dalam membangunkan perniagaan.

“Sekiranya wanita bersama-sama bangun dengan golongan lelaki, masyarakat akan lebih maju dan negara akan mendapat lebih banyak hasil,” serunya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang.

Teks & Gambar: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN