IJM Land taja RM100,000 kembang skuasy negeri

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWNIJM Land menaja RM100,000 untuk pembangunan sukan skuasy Pulau Pinang selama tiga tahun bermula tahun ini, termasuk menjadi tuan rumah Kejohanan IJM Terbuka Wanita Pulau Pinang Ke-2.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng melahirkan rasa gembira semasa menyaksikan Perjanjian Persefahaman (MoU) IJM Land itu, yang turut disertai Squash Rackets Association of Penang (SRAP) and Squash Rackets Association of Malaysia (SRAM).

“Kerajaan negeri amat berbangga bahawa Pulau Pinang, dengan sokongan IJM Land mampu menjadi tuan rumah pertandingan bertaraf tinggi,” ujar beliau di sini baru-baru ini.

Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Chong Eng turut hadir pada sidang media itu.

Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih berkata, Low Wee Wern yang dikenali sebagai pemain nombor tujuh dunia dan nombor dua dalam ranking kebangsaan akan membantu menjayakan kejohanan kali ini.

Tambah beliau, pertandingan bertaraf antarabangsa kali ini diharap menjadi gelanggang merebut kejuaraan bagi 50 pemain antarabangsa dan Pulau Pinang.

Mereka yang dimaksudkan, antaranya, Vanessa Raj, Celine Yeap , Lim Jee Nee dan Nur Aliah bersama-sama dengan pemain muda negara lain seperti Teh Min Jie dan Sivasangari Subramaniam.

Dalam perkembangan sama, beliau turut berharap kejohanan terbuka serupa turut boleh dianjurkan untuk gender lelaki.

“Kami telah menghasilkan pemain skuasy No. 1 dunia Datuk Nicol David, bakat baru Low Wee Wern dan banyak pemain muda dan akan datang beberapa orang lagi.

“Saya yakin bahawa dengan dedikasi Persatuan dan sudah tentu semua pihak yang terlibat, kita akan dapat lebih pemain bertaraf dunia,” ujar beliau.