BUKIT TAMBUN – Masuk hari kelima sejak 14 Mac 2019 IKEA Batu Kawan dibuka di Bandar Cassia, menyaksikan ribuan pengunjung masih tak putus-putus ke sini walaupun pada hari bekerja.
Masing-masing seakan tidak mahu melepaskan peluang melihat sendiri reka bentuk moden pelbagai perabot buatan negara maju Sweden, di gedung kelengkapan rumah di sini.
Di atas luas lantai 470,146 kaki persegi, terdapat 49 bilik pameran, meliputi ruang dapur, ruang tamu, bilik tidur dan tandas.
Kira-kira 8,000 produk kelengkapan rumah dipamerkan, untuk jalan-jalan serta membeli-belah dalam tempoh seharian memang tidak cukup.
Mereka yang pernah ke sini, mesti ke berkunjung lagi, kerana keghairahan dengan pelbagai aksesori unit dengan sebut harga yang berpatutan, semuanya.
MARZUKI MASTAR, 74, dari Bayan Lepas bersama-sama isteri tidak melepaskan peluang untuk meninjau kelengkapan rumah.
“Hujung minggu sesak sangat dengan pengunjung, jadi saya dan isteri pilih untuk datang pada hari ini (Isnin).
“IKEA di Kuala Lumpur pun saya pernah pergi, tapi, dengan adanya IKEA di Pulau Pinang, saya sekeluarga boleh terus ke Batu Kawan sahaja.
“Bagi saya, dengan adanya IKEA di Bandar Cassia ini, akan bawa limpahan kemewahan ekonomi dan pelaburan di Pulau Pinang,” katanya ketika ditemubual wartawan Buletin Mutiara pada 18 Mac 2019.
Difahamkan, pembangunan IKEA Batu Kawan telah mewujudkan nilai pelaburan kira-kira RM650 juta, sekaligus akan menggalakkan lebih banyak pelabur ke bandar satelit Batu Kawan.
Dua pengunjung dari Kedah, NOR ADRIANA AIDA CHE LAH, 20, dan NURUL IZZATI NIZAN (kanan), 21, masing-masing turut mengaku begitu ghairah untuk melihat kelengkapan rumah di IKEA Batu Kawan.
“Disebabkan hari ini (18 Mac 2019) cuti, kami guna peluang berkunjung ke IKEA…memang sangat teruja, tak sabar nak tengok kelengkapan rumah di sini.
“Hari ini, kami datang tinjau dahulu, lepas ini baru nak mula membeli-belah kelengkapan rumah yang berkenan di hati,” jelas Nor Adriana Aida.
Dalam pada itu, Nurul Izzati pula mengaku bahawa kebanyakan barang kelengkapan rumah yang dipamerkan di sini sangat unik, mempunyai reka bentuk tersendiri dan cantik.
“Sekarang tengah sesak beratur, memang nak makan dulu, kemudian sambung membeli-belah lagi,” selorohnya dalam nada gembira.
Selain membeli-belah kelengkapan rumah, pengunjung ke sini turut berpeluang membeli pelbagai makanan menarik, antaranya, bebola daging yang sangat terkenal serta enak.
Restoran di IKEA Batu Kawan yang sangat luas, serta dihiasi dengan pelbagai perabot dapur yang unik serta cantik, pada satu-satu masa boleh menampung kira-kira 756 pelanggan semangnya menjanjikan kepuasan walaupun terpaksa beratur panjang di sini.
Bagi LAU YONG KEONG, 43, dari Alma begitu teruja berkunjung ke IKEA Batu Kawan kerana kebanyakan perabot kelengkapan rumah di sini ditawarkan pada harga yang sangat berpatutan.
“Barang-barang di sini nampak murah juga, nampak unik berbanding di kedai perabot lain.
“Ini, kali pertama saya melihat gedung IKEA sebesar ini, saya sekeluarga sangat ghairah untuk membeli-belah,” ujarnya.
Bagi RODZIAH ABUL KASSIM (kanan), 55, dan CHE FARAH CHE ROSLAN, 35, kedua-dua rakyat Pulau Pinang berkenaan mengaku mereka memang adalah pengunjung tegar ke IKEA Kuala Lumpur, sebelum gedung kelengkapan rumah terbesar di utara Semenanjung Malaysia dibuka dekat Batu Kawan.
“Kami memang suka barang-barang IKEA, saya merupakan pembeli IKEA sejak bertahun-tahun lalu.
“Selepas ini tidak perlu lagi bimbang kerana di Pulau Pinang pun telah dibuka IKEA untuk penduduk tempatan.
“Pertama, saya pilih untuk datang hari ini kerana IKEA pada hari pembukaan dan hari cuti sangat sesak.
“Saya datang ke IKEA Batu Kawan kerana nak beli barang berkualiti dengan harga yang sesuai.
“Sebelum ini, saya telah membeli dua kerusi sofa dari IKEA, boleh guna hampir 10 tahun, membeli barang IKEA sangat berbaloi,” kata Rodziah.
K. RAMA, 73, dari Air Itam mengaku beliau bukan seorang yang gemar bersesak ke pasar raya.
Namun, apabila melihat iklan pembukaan IKEA Batu Kawan, timbul perasaan teruja untuk melihat sendiri perabot-perabot unik yang diinspirasikan dari negara Sweden untuk dimiliki oleh rakyat di tanah air ini.
“Saya sangat jarang pergi ke pasar raya, kecuali jika perlu.
“Jadi, kerana mereka (IKEA Batu Kawan) membuka gedung baru di sini, saya ingin merasakan apa yang berlaku.
“Saya telah melihat iklan pembukaan IKEA di dalam kertas, mereka mempromosikan dengan baik, jadi saya sekeluarga datang untuk melihat perabot dan produk yang dipamerkan di sini.
“Kita boleh membeli barang-barang yang sepatutnya boleh muat dalam rumah kita, jika tidak, akan merosakkan dekorasi rumah kita sahaja.
“Harga perabot di sini memamg mampu milik, sesuai dengan selera dan citarasa para pengunjung yang berbeza-beza, tapi paling penting adalah semua barang-barang di sini diakui berkualiti serta berbaloi dengan harga,” ujarnya sambil tidak menafikan bahawa beliau akan mengadakan lawatan kedua kerana seharian adalah tidak cukup untuk melihat satu-persatu aksesori kelengkapan rumah di gedung tersebut.
Sejak hari pembukaan, IKEA Batu Kawan dilengkapi 1,955 tempat parkir kenderaan, selain kemudahan bas ulang-alik percuma antara Design Village yang disediakan dari jam 11 pagi hingga 9 malam setiap hari.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD