Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
GEORGE TOWN – Inter IKEA Group (IKEA) yang memiliki gedung terkenal di Malaysia, Singapura dan Thailand akhirnya memuktamadkan hasrat untuk memajukan projek pembangunan bercampur di atas 245 ekar tanah di Taman Perindustrian Batu Kawan, Seberang Perai Tengah (SPT) di sini.
Fasa satu dan dua gedung pasar raya itu akan dibina oleh syarikat asing, Ikano Pte. Ltd., manakala, pejabat serta projek perumahan di bawah pelan pembangunan bercampur dibina bersama dengan syarikat tempatan Aspen-Ikano, iaitu anak syarikat Aspen Vision Land Sdn. Bhd.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, 30 ekar untuk pembangunan gedung IKEA fasa pertama kompleks pasar raya, diikuti, fasa dua projek serupa di atas 45 ekar tanah yang lain.
Manakala, 170 ekar lagi, katanya, untuk pembangunan bercampur.
“Kos keseluruhan projek ini adalah bernilai RM484 bilion (RM483,951,600) dan pembayaran mesti dibayar dalam masa 60 bulan daripada tarikh perjanjian dimeterai.
“IKEA sah datang Pulau Pinang…ini adalah gedung IKEA pertama di luar Kuala Lumpur,” ujarnya pada sidang media dekat Komtar di sini baru-baru ini.
Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Datuk Rosli Jaafar, Datuk M. Murly (Pengasas dan Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulan Aspen) dan Datuk Seri Nazir Ariff (Pengasas Bersama dan Pengerusi Aspen) turut hadir pada sidang media itu.
Guan Eng yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Warisan dan Hal Ehwal Agama Bukan Islam berkata, PDC telahpun menerima deposit yang tidak boleh dikembalikan berjumlah RM5 juta.
Kolej Universiti KDU, kampus Universiti Hull dan 11,800 rumah mampu milik merupakan antara projek perancangan di bawah pembangunan bercampur di atas 245 ekar tanah dekat Batu Kawan berkenaan.