Iklan haram, MBPP minta SKMM batalkan nombor telefon

Admin
img 6561

PADANG KOTA – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengambil inisiatif mendapatkan bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membatalkan nombor telefon pengiklan-pengiklan haram.

 

Menurut Ahli Majlis MBPP, Tan Soo Siang, tindakan tersebut selaras dengan Seksyen 263(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].

 

“Pada tahun 2024 sahaja, terdapat 16 nombor telefon yang telah dikesan mengulangi kesalahan sama dan terdiri daripada iklan agen hartanah, pusat tuisyen dan pinjaman wang.

61ea05d2 2b34 444c ab0c b3b13c6c6773

“Selepas tindakan diambil mengikut prosedur ditetapkan, pihak Majlis mendapati bahawa terdapat enam pemilik iklan masih bergiat aktif memasang iklan haram walaupun beberapa kali (iklan) diturunkan termasuk mengeluarkan notis peringatan.

“Justeru, tindakan akhir Majlis adalah mengemukakan nombor telefon tersebut kepada SKMM untuk dibatalkan  pada April lalu dan kini semua nombor tersebut sudah pun dibatalkan,” ujarnya dalam satu sidang media di Pejabat Jabatan Pelesenan MBPP, Padang Kota, di sini pagi tadi.

 

Hadir sama, Ahli Majlis MBPP, Rohaizat Hamid dan Choong You Ray.

 

Mengulas lanjut, Soo Siang memberitahu MBPP akan memerangi iklan-iklan haram berikutan kewujudannya yang mencacatkan pemandangan setempat, menutup papan tanda lalu lintas serta pemasangan yang mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya apabila tidak mengikut syarat pemasangan.

img 6595

“Setiap tahun, Pasukan Banner Haram Jabatan Penguatkuasaan dan Unit Iklan Jabatan Pelesenan telah menurunkan 7,000 hingga 10,000 keping iklan pelbagai jenis.

 

“Setakat Jun 2024, sebanyak 3,230 iklan haram diturunkan meliputi 1,082 gegantung, 887 sepanduk, 247 iklan pinjaman wang, 1,009 iklan kecil dan lima papan iklan kecil.

 

“Setiap iklan haram yang dipasang boleh dikenakan kompaun sebanyak RM250  setiap satu,” tegas Soo Siang lagi.

 

Difahamkan kos permit pemasangan iklan melalui MBPP adalah sebanyak RM20 setiap satu dan RM30 deposit yang akan dikembalikan serta pemprosesan RM50.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD