Iktiraf atlet martabat sukan negeri

Oleh : YAP LEE YING & ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MARK JAMES

GEORGE TOWN – Pengiktirafan julung kali oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diterima atlet paralimpik negara, Nurul Shakina Teh Abdullah, 38, begitu melonjakkan semangat ibu kepada dua cahaya mata itu untuk terus bergiat aktif dalam bidang kegemarannya, renang.

Bakat yang diasah sejak berusia 12 tahun di sekolah khas untuk golongan cacat penglihatan, St. Nicholas’ Home membuahkan hasil apabila sehingga kini tiada atlet yang mampu menandingi kehebatan Nurul Shakina dalam bidang berkenaan.

Ketika diwawancara Buletin Mutiara, Nurul Shakina yang kini berkhidmat sebagai penyambut tetamu di sebuah syarikat korporat terkemuka di ibu negara menyatakan bahawa beliau menyimpan hasrat supaya Majlis Sukan Negeri (MSN) ataupun pihak-pihak berkaitan supaya mencari ‘pengganti’ beliau.

“Pengganti bukan bermakna saya ingin bersara, sebaliknya, pengganti muda yang mampu terus mengharumkan nama negeri dan juga negara dalam acara renang sukan paralimpik,” katanya di sini baru-baru ini.

Pada majlis Anugerah Sukan Negeri Pulau Pinang 2012 yang berlangsung baru-baru ini, Nurul Shakina diumumkan sebagai Olahragawati Paralimpik 2012.

Turut tersenarai adalah Olahragawati 2012 yang dimenangi Ratu Skuasy negara, Datuk Nicol Ann David; Olahragawan 2012, jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei; Olahragawati Harapan 2012 (Thor Chee Yee); Olahragawan Harapan 2012 (Bryan Teoh Wiyang dan Olahragawan Paralimpik 2012 (Mohamad Suhaili Abd. Hamid).

Chong Wei turut memenangi Anugerah Tuan Yang diPertua (TYT) 2012 manakala Tokoh Pemimpin Sukan, Khoo Kay Chee yang bergiat dalam acara sukan Judo; Jurulatih Terbaik (Lim Lee Lee, Karate-Do) dan pasukan Karate-Do mengungguli anugerah Pasukan Wanita Terbaik serta Pasukan Lelaki Terbaik.

Hadir menyempurnakan majlis tersebut ialah TYT, Tun Abdul Rahman Abbas bersama isteri, Toh Puan Majimor Shariff, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Law Choo Kiang, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti dan Kesenian, Chong Eng, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mokhtar Mohd. Jait.

Menurut Nurul Shakina, sebelum dihantar ke St. Nicholas’ Home, beliau yang cacat penglihatan sejak dilahirkan sebelum itu dihantar ke sekolah biasa di Jelutong di sini sehingga tahun dua.

“Ekoran tidak dapat mengikuti pembelajaran dengan baik, selepas dua tahun, cikgu mencadangkan kepada ibu supaya menghantar saya ke sekolah khas.

“Pada mulanya, saya memang sedih ditinggalkan berseorang di sana (St. Nicholas’ Home). Pada malam pertama, saya menangis kerana rindu pada ibu,” ujarnya sambil tersenyum.

Bagaimanapun, disebabkan layanan mesra para pendidik, Nurul Shakina akhirnya berjaya membiasakan diri dan berasa seronok sehingga beliau menggelarkan rumah keduanya sebagai, sekolah syurga dunia.

“Pembelajaran di sini adalah  tertakluk kepada tahap kemahiran masing-masing. Selain akademik, para pelajar juga dapat belajar bermacam-macam bidang teknikal, kesenian dan juga sukan.

“Setiap petang, apabila pelajar lain bermain di taman, saya akan ke kolam renang,” jelas beliau yang turut cemerlang dalam acara larian 400 dan 800 meter sebelum ini.

Ketika ditanya sebab beliau memilih acara renang, Nurul Shakina yang mampu melihat secara samar-samar menyatakan bahawa sejak  kecil, beliau suka melihat air termasuk air longkang di kawasan sekitar rumahnya.

Sehingga kini, pencapaian tertinggi beliau yang mendirikan rumahtangga dengan seorang atlet paralimpik dalam acara tenpin boling pada tahun 2004 adalah mewakili negara dalam kejohanan peringkat Asia Pasifik sebanyak dua kali di Korea.

Tidak dinafikan, kini, tumpuan utama Nurul Shakina adalah keluarganya, namun, beliau menegaskan bahawa selagi mampu, dirinya akan terus bersukan.

“Ekoran komitmen terhadap keluarga, saya berhenti dari menyertai sebarang kejohanan antarabangsa.

“Namun, jika hati saya tersentak ingin berentap dalam kejohanan antarabangsa, saya akan pergi ikut kemahuan hati,” tegas Nurul Shakina yang turut berharap supaya sukan paralimpik menerima pengiktirafan setaraf kejohanan sukan biasa.

Sementara itu, bagi Chee Yee, 21, yang memenangi dua pingat emas pada kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) dekat Kuantan, Pahang tahun lalu melahirkan rasa gembira kerana dipilih pula menerima anugerah Olahragawati Harapan Tahun 2012 daripada Kerajaan Negeri.

“Saya berasa sungguh gembira kerana latihan yang begitu bersungguh-sungguh akhirnya berhasil,” ujarnya Chee Yee semasa ditemui di Kompleks Majlis Sukan Negeri (MSN) di sini.