GEORGE TOWN – 26 pelajar dari Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Pengkalan Kota diharap dapat menambahkan ilmu baharu melalui Kelas Pengekodan (coding) Percuma yang dianjurkan Kerajaan Negeri baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN), Daniel Gooi Zi Sen ketika melawat sesi program berkata pelajar-pelajar ini seharusnya berasa bertuah kerana mempunyai Kerajaan Negeri yang prihatin.
“Pelajar-pelajar harus mengambil peluang ini bagi menguasai Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) untuk mendepani Industri 4.0.
“Justeru Kerajaan Negeri memperkenalkan kelas coding ini secara percuma kepada semua pelajar sekolah seluruh Pulau Pinang dan saya berbangga kerana KADUN Pengkalan Kota menjadi kawasan kesembilan menikmati kelas percuma ini selaras dengan janji Kerajaan Negeri,” ujar beliau ketika berucap di lokasi program dekat Penang Digital Library baru-baru ini.
Selain kelas tersebut, katanya para pelajar turut bertuah kerana sebelum ini mereka berpeluang belajar mengenai pencetakan 3D dilaksanakan Kerajaan Negeri.
Selain STEM, katanya kini Kerajaan Negeri juga menekankan pendekatan baharu dengan memasukkan elemen seni dengan memperkenalkan STEAM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik).
Difahamkan Pulau Pinang kini mempunyai kira-kira enam pusat sains berteraskan STEM.
Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI