‘Ilmu itu penting, kerana tanpa ilmu, manusia tidak akan pergi jauh’ – Pengerusi Kontraktor Kelas F Pulau Pinang, Tahir Jalaluddin Hussain

Admin

Oleh : ZULIANA AZIZ

Gambar : LAW SUUN TING

TAHIR Jalaluddin Hussain menjelaskan cabaran beliau sebagai  Presiden PERKOBF Pulau Pinang kepada Buletin Mutiara.
TAHIR Jalaluddin Hussain menjelaskan cabaran beliau sebagai Presiden PERKOBF Pulau Pinang kepada Buletin Mutiara.

‘Jika sesuatu bangsa tidak mengubah nasibnya sendiri, siapa yang perlu ubah?’ Itulah prinsip yang diamalkan oleh Presiden Persatuan Kontraktor Kelas F Pulau Pinang (PERKOBF), Tahir Jalaluddin Hussain, 48. Anak kelahiran Jalan Perak, Pulau Pinang ini merupakan seorang yang berwawasan, sukakan cabaran, peramah, tegas tetapi santun dalam menyusun setiap tutur kata ketika ditemui oleh wartawan Buletin Mutiara (BM).

BM : Secara umum, sesetengah masyarakat mengenali Tuan sebagai Presiden PERKOBF Pulau Pinang. Apakah jawatan-jawatan lain yang Tuan sandang di dalam pentadbiran Kerajaan Negeri atau Perbadanan Bukan Kerajaan (NGO).

Tuan Tahir : Selain menyandang jawatan Presiden PERKOBF, saya juga merupakan Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan saya juga Timbalan Pengerusi Majlis Perundingan Kontrator Kelas F Negeri P.Pinang. Di samping itu, saya juga Ahli Seumur Hidup PEMADAM Kebangsaan dan Ahli Seumur Hidup Persatuan Melayu Pulau Pinang. Saya juga terlibat secara langsung ataupun tidak langsung di dalam program Kerajaan Negeri atas daya usaha yang dibuat oleh Ketua Menteri untuk membantu kontraktor kelas F. Majlis Perundingan ini juga digunakan untuk membincang masalah-masalah yang timbul dalam membentuk kelas F ke peringkat yang lebih baik. Saya juga memegang jawatan dalam jawatankuasa kecil ‘Georgetown World Heritage Incorporated’ (GWHI) di dalam bidang teknikal yang mana ia bertanggungjawab menganjurkan kursus-kursus konservatif warisan kepada kontraktor Kelas F di Pulau Pinang bagi tujuan melahirkan kontraktor pakar dalam kalangan kontraktor kelas F.

BM : Apakah cabaran yang Tuan hadapi terutama di dalam bidang ini.

Tuan Tahir : Buat masa ini, cabaran yang begitu ketara ialah terdapat beberapa pertubuhan yang mengakui mereka ini mewakili kontraktor Kelas F sedangkan di Pulau Pinang mempunyai lebih 1,200 orang berbanding Kelas A yang hanya mempunyai 79 orang. Saya begitu berharap agar semua kontraktor Kelas F ini duduk di bawah satu bumbung kerana bagi saya, hanya kontraktor Kelas F saja yang boleh memimpin dan tidak perlukan kontraktor besar untuk memimpin. Tetapi apa yang berlaku sebaliknya. Kontraktor Kelas A diberi peluang untuk memimpin kontraktor kelas F. Berlaku ‘split of interest‘ di sini kerana kita terbahagi kepada dua puak dan memiliki pemikiran yang berbeza. Jika dihitung, Kelas F merupakan majoriti berbanding jumlah kelas A dan kelas-kelas lain tidak sampai 300 orang.

BM: Apakah pendapat tuan mengenai isu yang hangat diperkatakan mengenai kontraktor Melayu kelas F di Pulau Pinang oleh MCA, baru-baru ini.

Tuan Tahir : Bagi saya, MCA tidak arif dalam menangani masalah dan tidak memahami proses projek diberi kepada Bumiputera (Melayu) di Pulau Pinang. Pertama sekali harus difahami bahawa pemberian harta negeri melalui projek-projek kecil ini melibatkan kesemua bangsa secara total tanpa ada sesiapa yang dianaktirikan. Contohnya, orang Melayu langsung tidak mempunyai kedai hardware di Pulau Pinang dan pembelian barang dibeli daripada bangsa lain. Jika dilihat, putaran ekonomi ini memperlihatkan semua bangsa terlibat dalam sesuatu projek yang diberi. Cuma yang timbul ialah lesen dipegang oleh orang Melayu. Mungkin ini adalah lonjakan daripada politik semasa daripada bekas ADUN Jawi yang tidak memahami sesuatu yang beliau sendiri tidak tahu. Saya nasihatkan beliau supaya banyak buat ‘homework’ sebelummengkritik atau membidas Kerajaan Negeri mengenai isu ini.

BM : Apakah sasaran atau matlamat Tuan sebagai seorang Pengerusi PERKOBF Pulau Pinang.

Tuan Tahir: Saya mempunyai matlamat dan harapan yang sangat tinggi kepada kontraktor Kelas F di Pulau Pinang ini. Pertama sekali, saya mahu satu anjakan paradigma oleh kontraktor yang sedia ada pada hari ini untuk keluar daripada bayangan dipimpin dan dijajah oleh kontraktor kelas besar. Pelbagai tohmahan dan fitnah dilempar kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebelum ini kononnya Kerajaan Negeri tidak memberi projek-projek yang lebih besar kepada kontraktor Bumiputera. Di sini saya ingin menyuarakan sesuatu mengenai projek mega yang sedang berlaku di Pulau Pinang iaitu projek yang bernilai RM 4 bilion yakni pembinaan jambatan kedua Pulau Pinang di mana ada satu persatuan yang mendakwa kononnya kerajaan persekutuan telah berjanji  kepada mereka yang 30 peratus dari projek akan diberi kepada kontraktor Bumiputera tempatan yakni kontraktor kelas-kelas yang besar. Secara tidak langsung perkara ini mengaitkan seramai 1,200 kontraktor kelas F yang kononya telah ‘gulung tikar’ dan terpaksa menjalankan perniagaan lain kerana tidak mempunyai projek. Di sini kita telah nampak momento yang ada di Pulau Pinang, di mana ada pihak yang mengeluarkan kenyataan bagi tujuan meraih kontrak  besar untuk kepentingan mereka dan bukannya untuk membantu kontraktor kelas F. Tapi ianya mengunakan kontraktor kelas F sebagai mangsa batu loncatan untuk mereka-mereka ini meraih kontrak dan ianya tidak menguntungkan kontraktor kelas F sama sekali. Kini, saya hanya mahu kontraktor kelas bawahan agar memperbaiki diri agar tidak lagi ditindas atau diperkotak-katikkan di masa hadapan. Ini matlamat utama saya.

BM: Apakah hobi Tuan.

Tuan Tahir: Saya sebenarnya tidak mempunyai hobi. Saya cuma rajin membaca dari dulu hingga sekarang. Bagi saya ilmu itu penting kerana tanpa ilmu, manusia tidak akan pergi jauh. Saya nasihatkan semua supaya sentiasa memperbaiki diri agar kita tidak ketinggalan di mana saja kita berada. Selain daripada membaca saya juga suka melancong ke negara luar. Satu ketika dahulu saya cuba bermain golf tetapi saya dapati ia tidak menarik dan sesuai dalam kerjaya saya.