Oleh : YAP LEE YING
Gambar : IDZHAM AHMAD
DIPERTURUNKAN daripada arwah ayahnya.
Darah menukang lazimnya mengalir dalam keluarga pengusaha perabot, Suhaimi Mohamad, 44, yang kini mengusahakan perniagaan keluarganya di Kampung Permatang Tinggi, Kepala Batas, Seberang Perai Utara (SPU).
Orangnya pendiam, namun penulis yang mengadakan lawatan ke bengkelnya terpegun melihat hasil kerja yang begitu halus dan unik.
Minat Suhaimi dalam bidang pembuatan perabot adalah disemai daripada ayahnya sehinggakan beliau mempelajari mata pelajaran seni perusahaan pertukangan ketika menuntut di tingkatan satu.
“Saya sering kali melihat arwah ayah membuat perabot sejak di bangku sekolah.
“Dari situ, saya nampak kayu perabot adalah satu keunikan sehingga mendorong saya terjerumus dalam bidang ini hingga kini,’’ katanya memulakan sesi temuramah bersama Buletin Mutiara baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Suhaimi yang dikurniakan empat cahaya mata memberitahu bahawa perabot pertama dihasilkan beliau adalah almari baju dan katil.
“Tidak perlu cuba banyak kali. Hasil tunjuk ajar ayah, sekali buat sudah menjadi!’’ jelasnya yang ketika itu berusia 18 tahun.
Perniagaan turun-temurun yang diwarisi sepenuhnya oleh Suhaimi sejak lebih 25 tahun lalu adalah bermula dengan perniagaan kecil-kecilan hasil titik peluh arwah ayahnya.
“Arwah merupakan tukang rumah, bekerja dengan orang.
“Namun, bila ada masa terluang, dia (arwah ayah) buat juga perabot seperti kabinet dapur, pintu, katil dan lain-lain berdasarkan permintaan yang datang,’’ jelas beliau.
Mengulas lanjut, Suhaimi memberitahu bahawa pasaran perabot beliau kini adalah tertumpu kepada kawasan sekitar Kepala Batas, SPU dan bahagian pulau di Balik Pulau, Teluk Kumbar dan Batu Feringghi.
Selain reka bentuk sendiri, Suhaimi turut menyatakan bahawa pelanggan boleh membawa cirri-ciri perabot sendiri untuk tujuan tempahan.
Sepanjang tempoh bergiat dalam bidang berkenaan, Suhaimi tidak menafikan bahawa cabaran utama yang dihadapi adalah hutang pelanggan.
“Kalau pelanggan tak bayar, apa boleh buat, kita boleh buat sabar sahaja,’’ keluh Suhaimi yang mana turut menyatakan bahawa harga barangan bekalan seperti kayu turut menjadi cabaran tidak dapat dielakkan.
Ditanya mengenai kualiti kayu kini berbanding dulu, Suhaimi tidak menafikan bahawa bekalan kayu kini adalah ‘lebih muda’ iaitu saiz ‘balak kecil’.
“Balak muda yang dipotong memiliki kualiti berlainan. Ia adalah lebih ringan, mudah diangkat dan apabila dipaku, paku adalah lebih mudah tercabut.
“Berbanding balak tua, ia adalah lebih keras dan berat,’’ katanya yang menggunakan jenis kayu meranti dan nyatoh dalam penghasilan perabot beliau.
Dalam pada itu, Suhaimi memberitahu bahawa kayu cengal hanya akan digunakan sekiranya terdapat permintaan khas daripada pelanggan.
Bagi perancangan masa depan, seperti peniaga-peniaga lain, beliau ingin memperbesarkan perniagaan sedia ada termasuk mendedahkan para pekerja dengan kemahiran diperlukan, meningkatkan modal sedi ada dan memiliki lokasi perniagaan yang lebih luas.
Sebagai seorang yang berpengalaman, Suhaimi menyatakan bahawa perabot dihasilkan beliau adalah lebih berkualiti dan bermutu tinggi.
Malah, beliau kini telah turunkan ilmu-ilmu pertukangan diwarisi kepada anak keduanya berusia 20 tahun yang mana turut berminat dalam bidang terbabit.
Mengulas mengenai bahaya bidang pertukangan, Suhaimi menjawab ringkas.
“Apa-apa kerja pun ada risiko, pergi ke laut pun ada risiko, alah bisa tegal biasa,’’ nyatanya sambil tersenyum.
INFO :
Suhaimi Gemilang Enterprise
Kampung Permatang Tinggi C,
Kepala Batas.
019 – 570 8112