Iltizam UDA dan PEMENANG majukan tanah demi tingkat pegangan hartanah Bumiputera disambut baik

Admin
b9ca1ccf 3864 420b a2af 3a818daf8d4a KETUA Menteri (dua dari kanan) menyempurnakan acara penutup Karnival UDA Edisi Pulau Pinang di tapak parkir Gravitas, Seberang Jaya di sini pada 28 Julai 2024.

SEBERANG JAYA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya menyambut baik hasrat serta iltizam bersama Lembaga Pembangunan Bandar (UDA) dan Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) untuk memajukan tanah berkaitan sekitar bandar demi meningkatkan pegangan hartanah Bumiputera di negeri ini.

ef779d02 a0c2 4aa4 842a 1dd0435c4500
(Dari kiri) MOHD. Annuar Zaini, Ketua Menteri dan Rashidi Zinol dalam sidang media berkaitan di sini pada petang tadi.

Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi itu berkata demikian dalam sidang media berkaitan, seusai merasmikan acara penutup Karnival UDA Edisi Pulau Pinang di tapak parkir Gravitas di sini pada 28 Julai 2024.

“Saya perlu mendapatkan lebih banyak maklumat daripada Tan Sri (Dato’ Seri Dr. Haji Mohd.) Yussof Latiff, (Presiden) PEMENANG yang melontarkan idea bahawa dengan tanah-tanah di kawasan George Town, sekiranya dimajukan boleh membawa 10,000 penduduk Melayu ke pusat bandar George Town.

“Sekitar Jalan Datuk Keramat, Jalan Perak, Jalan Patani yang dimaksudkan di kawasan itu adalah masih ada tanah wakaf dan tanah lain-lain untuk pembangunan hartanah Bumiputera di kawasan bandar,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Sejak menjadi Ketua Menteri pada Mei 2018, Kon Yeow memberitahu bahawa pentadbirannya memang tiada halangan serta menyambut baik usaha memajukan tanah termasuk oleh pihak UDA di negeri Pulau Pinang.

“Khususnya tanah-tanah yang melibatkan kepentingan Bumiputera dan Melayu, seperti UDA telah usahakan di Tanjong Tokong, juga boleh cuba dilaksanakan di kawasan-kawasan lain sekitar negeri Pulau Pinang.

“Sebarang projek yang perlu menempatkan semula penduduk asal, sebagai syarat kelulusan Pelan Kebenaran Merancang, biasanya pemaju-pemaju dapat patuhi,” ujarnya sambil memberitahu bahawa Kerajaan Negeri tidak akan menyokong mana-mana projek pemajuan yang dikaitkan dengan tindakan pengusiran paksa terhadap penduduk asal termasuk dekat kawasan-kawasan bandar.

2943dd7b 409c 4e38 a738 d5171846f52e
KETUA Menteri

Dalam ucapan perasmian penutup Karnival UDA Edisi Pulau Pinang sebelum itu, Kon Yeow memuji peranan yang dimainkan oleh agensi Persekutuan tersebut dalam membekalkan hartanah jenis kediaman dan komersial di negeri ini.

“Saya dimaklumkan bahawa UDA telah berjaya menyediakan sebanyak 23,930 unit kediaman dan 1,579 unit hartanah di negeri ini dengan pencapaian cemerlang yang mana tidak pernah mempunyai projek terbengkalai.

“Syabas dan terima kasih saya ucapkan kepada UDA yang kini mengambil alih pemulihan beberapa projek terbengkalai seperti Mengkuang Heights dan Taman Orkid Indah di Seberang Perai,” ulasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu bahawa sehingga 25 Julai lepas menyaksikan sejumlah 161,466 unit Rumah Mampu Milik (RMM) sedang dalam pelbagai peringkat pemajuan di kelima-lima daerah negeri, yang mana menyamai 73.39 peratus berbanding sasaran membekalkan 220,000 unit kediaman menjelang tahun 2030.

83872ffa 1bc3 4e18 999e 72e587a4b530
MOHD. Annuar Zaini

Berucap sebelum itu, Pengerusi UDA Holdings Berhad, Tan Sri Dato’ Seri Mohd. Annuar Zaini menyatakan bahawa sejak agensi Persekutuan tersebut ditubuhkan pada pada tahun 1972, ia telah membangunkan sejumlah 25,509 unit hartanah kediaman serta komersial meliputi projek pembangunan di Tanjung Tokong, Taman Pauh Jaya serta Bertam, Kepala Batas.

“UDA telah dikurniakan tanah seluas 44 ekar di Tanjong Tokong untuk menyelesaikan 2,136 keluarga setinggan.

“Sehingga kini, 1,486 unit telah siap dibina, telah pun diserahkan secara percuma dan dihuni oleh keluarga setinggan (1486), manakala 650 baki unit lagi sedang dan akan dibina untuk memenuhi 2,136 rumah gantian untuk keluarga setinggan,” ulasnya sambil berharap kerjasama erat dengan Kerajaan Negeri dapat diteruskan.

Selain itu, beliau turut memberi respons kepada kenyataan terbaru Mohd. Yussof supaya pemilikan hartanah Bumiputera Pulau Pinang terutama di kawasan bandar ditingkatkan.

“UDA mengikuti kenyataan media Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) yang berhasrat membangunkan penempatan orang-orang Melayu di Pulau Pinang dan Persatuan tersebut turut menyeru penyertaan UDA bagi membantu usaha tersebut.

“Selaras dengan falsafah di sebalik penubuhannya (UDA) pada 12 November 1971, UDA dengan ini terpanggil untuk menawarkan peranan kepada Kerajaan Persekutuan begitu juga kepada kerajaan-kerajaan negeri, menjadi rakan untuk membantu melaksanakan agenda pemilikan hartanah bumiputera terutamanya di kawasan bandar.

“Sebaik membaca kenyataan media Tan Sri (Mohd.) Yussof Latiff, saya panjangkan kepada Y.A.B. Perdana Menteri, dan yang mengejutkan saya pada jam 1.07 pagi, Perdana Menteri masih bekerja dan balas : saya sokong idea ini,” jelasnya.

Selain Mohd. Yussof Latiff, turut serta adalah Exco Perdagangan dan Pembangunan Keusahawanan & Luar Bandar, Dato’ Rashidi Zinol; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Zamri Salleh; Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif UDA Holdings Berhad, Datuk Sr. Mohd. Salem Kailany; Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN), Ahmad Dasuki Abd. Majid dan Ketua Pegawai Operasi UDA Land (North) Sdn. Bhd., Zainudin Deni.

Serentak pada majlis sama, Kon Yeow turut menyaksikan pelancaran program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA menghulurkan sumbangan zakat wakalah kepada berjumlah RM128,450 untuk diagihkan kepada lebih 1,500 murid asnaf di wilayah pembangunan dan perniagaan UDA zon utara yang disalurkan melalui Tabung Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

Buletin Mutiara difahamkan, program kolaborasi yang melibatkan PTPTN tersebut antara lain bertujuan mendorong semangat dan amalan menabung dalam kalangan generasi muda.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD