GEORGE TOWN – Kemenangan penuntut Ijazah Sarjana Syariah Universiti Malaya (UM) yang juga merupakan anak jati Pulau Pinang, Muhammad Asyraf Mohd. Ridzuan di dalam rancangan realiti Program Siri Pencarian Imam Muda 2010 terbitan Astro Oasis wajar dijadikan teladan kepada semua muda-mudi di negeri ini.
Kenyataan tersebut dinyatakan oleh Ketua Menteri I, Dato’ Mansor Othman ketika diminta mengulas mengenai kemenangan Muhammad Asyraf di sini baru-baru ini.
“Asyraf seharusnya dijadikan idola dan ikon kepada anak muda khususnya di Pulau Pinang. Malah, kemenangan Imam Muda Asyraf menjadi kebanggaan rakyat Pulau Pinang,’’ katanya di sini.
Menerusi kemenangan tersebut, Muhammad Asyraf, 26, yang merupakan anak kelahiran Sungai Gelugor telah menerima insentif berbentuk tawaran sebagai Imam Ratib (kontrak) di salah sebuah masjid di Wilayah Persekutuan.
Selain itu, Muhammad Asyraf juga menerima biasiswa pakej berlian pengajian ke Universiti Antarabangsa Al Madinah (MEDIU), sebuah kereta Proton model Exora, pakej menunaikan ibadat haji, pakej umrah, pakej percutian ke Bandung selama empat hari dan tiga malam serta pakej perabot jati bernilai RM10,000.
Hadiah lain yang mengiringi kejayaannya adalah pakej spa Maghribi untuk seorang, wang tunai RM20,000, sebuah komputer riba Apple Macbook Pro, sebuah iPhone 3G, trofi Imam Muda serta sijil penyertaan dan kad pentauliahan diiktiraf JAWI. Dalam pada itu, Muhammad Asyraf juga merupakan salah seorang penerima pengiktirafan anugerah hufaz oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Ketika dihubungi Suara CAT, beliau berharap agar dapat menjalinkan hubungan dengan berganding bahu bersama pelbagai pihak untuk memartabatkan institusi imam. Pada masa sama, beliau juga akan sedaya- upaya memperkenalkan pendekatan yang lebih mesra remaja.